Sasaran 47 juta pelawat TMM 2026 buka peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

Sasaran 47 juta pelawat TMM 2026 buka peluang pekerjaan

AMIR HAMZAH ketika memberi ucapan sempena CEO Series anjuran Rehda Insitute di Petaling Jaya, hari ini. - UTUSAN/FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) seramai 47 juta pelawat dan RM329 bilion hasil pelancongan membuka skala peluang pekerjaan serta manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan komuniti tempatan di seluruh Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi sektor hartanah dan hospitaliti pula ia merupakan peluang yang perlu dilihat melalui lensa ekonomi pengalaman.

“Kita sedang menyaksikan peralihan kepada destinasi berasaskan pengalaman iaitu tempat yang menawarkan hubungan tulen dengan budaya, warisan dan keindahan alam semula jadi kita.

“Inilah sebabnya pemulihan mercu tanda bersejarah kita amat penting seperti tapak Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Stadium Merdeka yang bukan sekadar monumen masa lalu.

“Ia adalah aset nasional bernilai tinggi yang menyimpan memori kolektif, identiti dan kesinambungan kita sebagai sebuah negara,” katanya dalam Ucaptama Menteri Semasa Jamuan Tengah Hari pada CEO Series 2026 di sini, semalam.

Beliau berkata, TMM2026 bukan hanya tentang menyambut lebih ramai pelawat, tetapi menyambut mereka dengan lebih baik.

“Melalui reka bentuk yang teliti, kecemerlangan perkhidmatan dan keprihatinan, kita akan mempersembahkan yang terbaik tentang Malaysia. Cara kita menyambut dunia adalah cara dunia mengenali siapa kita,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), kerajaan bekerjasama dengan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk menggerakkan RM120 bilion pelaburan domestik dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Niat kami adalah jelas iaitu memastikan modal nasional berkhidmat untuk kepentingan nasional, digerakkan secara pemangkin bagi menyokong industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi yang akan menentukan masa depan kita.

“GEAR-uP merupakan isyarat komitmen kerajaan untuk menjadi rakan kongsi jangka panjang.

“Kami mahu pelaburan berakar umbi di sini, di tanah air kita sendiri, mewujudkan nilai yang kekal sebagai manfaat berpanjangan kepada rakyat Malaysia.

“Kami tidak mencari modal yang sekadar singgah, tetapi modal yang membina, menetap dan berkekalan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN