PETALING JAYA: Ringgit dijangka meneruskan trend pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan purata sekitar RM4.00 sepanjang 2026, berbanding RM4.28 pada 2025, disokong oleh jangkaan penyempitan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia.
Menurut MBSB Investment Bank (MBSB IB), pemacu utama kepada kecenderungan pengukuhan berterusan ringgit adalah unjuran bahawa Rizab Persekutuan AS akan melaksanakan satu lagi pemotongan kadar faedah pada 2025, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus.
“Unjuran ini berasaskan jangkaan bahawa persekitaran kadar faedah global akan menjadi lebih seimbang, sekali gus menyokong aliran masuk modal ke pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia.
“Bagaimanapun, prestasi ringgit sepanjang 2026 kekal sensitif terhadap hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan, khususnya sekiranya inflasi AS kekal tinggi atau risiko geopolitik global meningkat.
“Faktor-faktor ini berpotensi melengahkan pemotongan kadar faedah AS dan menjadi kekangan kepada kekuatan ringgit dalam jangka terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.
Namun begitu, bagi tempoh semasa, kecenderungan pengukuhan ringgit semakin ketara susulan rentetan data makroekonomi domestik yang positif, dengan mata wang tempatan -telah menembusi paras RM4.09 berbanding dolar AS bulan ini.
MBSB IB turut menjangkakan Indeks Ringgit Berwajaran Perdagangan (TWRI) versi bank itu akan meningkat kepada 102.0 menjelang akhir 2026, berbanding 98.4 pada akhir 2025.
Peningkatan ini mencerminkan jangkaan bahawa ringgit akan mengukuh bukan sahaja berbanding dolar AS, malah mata wang rakan dagang utama Malaysia.
Menurut MBSB IB, ketahanan ringgit disokong oleh kestabilan dasar monetari domestik serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
“Keadaan ini membezakan Malaysia daripada beberapa negara lain yang bank pusatnya mengambil pendirian lebih dovish dengan melonggarkan kadar faedah dasar bagi merangsang pertumbuhan.
“Penilaian terkini BNM juga menunjukkan ekonomi domestik berada pada landasan pengembangan yang mampan, dengan persekitaran makroekonomi yang stabil dari segi harga dan pertumbuhan,” katanya.
Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka pada 4.0540/0645 berbanding dolar AS sebelum ditutup pada 4.0550/0590.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, prestasi ringgit yang lebih baik berbanding mata wang serantau dan mata wang utama dunia ketika ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi Malaysia.
Menurutnya, disiplin dasar monetari yang konsisten, pengurusan inflasi yang berkesan serta prospek pertumbuhan jangka sederhana yang stabil menjadi faktor penting yang menyokong daya tarikan ringgit dalam kalangan pelabur.
“Selagi pertumbuhan ekonomi domestik kekal mampan dan dasar monetari terus berteraskan kestabilan, ringgit berpotensi mengekalkan daya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan luaran, termasuk perubahan dasar monetari global dan risiko geopolitik,” katanya.-UTUSAN










