PETALING JAYA: Mata wang negara dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong oleh data ekonomi AS yang hambar seterusnya memberi tekanan selanjutnya terhadap mata wang itu.
Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 3.9485/9500 berbanding dolar AS, paras yang kali terakhir dicatatkan pada Mei 2018, daripada 3.9500/9555 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) merosot 1.32 peratus kepada 95.759 mata apabila data terkini mengukuhkan jangkaan terhadap pelonggaran dasar monetari tahun ini.
“Indeks Keyakinan Pengguna oleh Conference Board AS turut susut kepada 84.5 mata pada Januari, merosot melebihi jangkaan dan lebih rendah daripada unjuran konsensus pada 90.6 mata,” katanya.
Beliau berkata, prestasi indeks itu menunjukkan kalangan rakyat AS semakin bimbang terhadap kos sara hidup dan prospek guna tenaga, menandakan perbelanjaan pengguna yang merupakan tonggak utama ekonomi AS berkemungkinan terus sederhana.
“Selain itu, yen Jepun terus mengukuh susulan perbincangan berterusan mengenai kemungkinan campur tangan terselaras oleh kerajaan Jepun dan Rizab Persekutuan AS,” ujarnya. – UTUSAN










