Rimba beri nafas baharu pengalaman transit di KLIA - Utusan Malaysia

Rimba beri nafas baharu pengalaman transit di KLIA

PENGARAH Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani (dua kiri) melihat Hutan Rekreasi RIMBA pada program santai bersama media @ Rimba KLIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 terus memperkukuh imej sebagai pintu masuk utama negara dengan memperkenalkan Rimba, ruang rehat baharu berinspirasi alam semula jadi yang menawarkan pengalaman transit lebih tenang dan selesa kepada penumpang.

Terletak di Bangunan Satelit Terminal 1, ruang yang sebelum ini dikenali sebagai Jungle Boardwalk itu kini diberi penjenamaan serta wajah baharu bagi meningkatkan keselesaan, pengalaman visual dan kesejahteraan penumpang yang melalui lapangan terbang tersibuk negara.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, Rimba diwujudkan sebagai pelengkap kepada kemudahan sedia ada di KLIA dengan menampilkan suasana hijau yang memberi kelegaan fizikal dan emosi kepada penumpang, khususnya mereka yang menunggu penerbangan sambungan.

Menurut beliau, sebagai pintu masuk utama Malaysia, KLIA bukan sekadar berfungsi sebagai hab pengangkutan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan awal pelawat terhadap negara.

“Penambahbaikan seperti Rimba bukan sahaja meningkatkan keselesaan penumpang, malah menyokong semangat Visit Malaysia 2026 dengan menonjolkan identiti semula jadi negara serta budaya perkhidmatan Malaysia kepada pelancong yang tiba atau transit,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA, malam tadi.

Beliau menambah, faktor pengalaman dan emosi penumpang kini menjadi elemen penting dalam penilaian penanda aras antarabangsa seperti Skytrax World Airport Awards dan ACI Airport Service Quality (ASQ).

“Lapangan terbang hari ini tidak lagi bersaing dari segi kecekapan operasi semata-mata, sebaliknya pengalaman menyeluruh penumpang menjadi penentu.

“Dengan sekitar 50 hingga 60 juta penumpang melalui KLIA setiap tahun, pengalaman semasa transit amat mempengaruhi persepsi mereka terhadap negara dan lapangan terbang ini,” katanya.

Rimba yang meliputi keluasan 970 meter persegi menampilkan pintu masuk yang diperbaharui, kehijauan landskap yang dipertingkatkan, pencahayaan rotan hasil kraftangan tempatan serta susun atur tempat duduk berkonsep taman.

Kesemua elemen itu direka untuk mengurangkan keletihan perjalanan, memberikan kelegaan visual dan menyokong pergerakan penumpang yang lebih lancar di ruang legar satelit.

Menurut Mohd. Izani, penambahbaikan Rimba dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa seterusnya bakal memperkenalkan tawaran premium serta kemudahan tambahan yang lebih hampir dengan kaunter sambungan dan kaunter maklumat.

“Inisiatif ini diharap dapat membentuk tanggapan positif serta mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan serantau yang bukan sahaja cekap, malah menawarkan pengalaman bermakna kepada penumpang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN