PTP catat rekod kendali 14 juta TEU sepanjang 2025 - Utusan Malaysia

PTP catat rekod kendali 14 juta TEU sepanjang 2025

PENCAPAIAN ini bukan sahaja melepasi sasaran 14 juta TEU, malah mencatatkan rekod baharu bagi operasi pelabuhan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP), sebuah syarikat usaha sama antara Kumpulan MMC yang berpangkalan di Malaysia dan APM Terminals dari Belanda, mencatatkan kendalian sebanyak 14 juta unit setara dua puluh kaki (TEU) bagi sepanjang tahun lalu.

Pencapaian ini bukan sahaja melepasi sasaran 14 juta TEU, malah mencatatkan rekod baharu bagi operasi pelabuhan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pencapaian itu menandakan lonjakan signifikan bagi PTP apabila bermula dengan rekod 11.2 juta TEU pada 2021, diikuti 12.3 juta TEU pada 2024, dan kini mencapai tahap yang lebih tinggi pada 2025.

“Ini jelas mencerminkan disiplin operasi, skala, dan kekuatan pelaksanaan PTP yang mampan. Kejayaan yang diraih di kala PTP turut meraikan ulang tahunnya yang ke-25 menjadikannya lebih bermakna.

“Ia sekali gus memperkukuh kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kapal (transshipment) utama Malaysia serta antara terminal kontena yang paling berdaya tahan dan berprestasi tinggi di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian membanggakan ini bukan sekadar menetapkan penanda aras kebangsaan yang baharu, malah turut mencerminkan komitmen kolektif warga kerja dan keyakinan pelanggan terhadap PTP.

“Apa yang lebih membanggakan, kejayaan ini dicapai dengan purata kendalian bulanan sebanyak 1.2 juta TEU tanpa sebarang kesesakan.

“Kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan dan rakan kongsi adalah asas kepada kejayaan ini. Keputusan untuk menjadikan PTP sebagai hab utama Asia bagi Gemini Cooperation adalah bukti nyata kepercayaan tersebut,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman menambah, pada 2025, pihaknya melangkah lebih jauh dengan mencapai kedua-dua sasaran melepasi kendalian 13 juta dan 14 juta TEU dalam bulan yang sama, iaitu masing-masing pada 6 dan 31 Disember 2025.

”Selain itu, PTP terus mencatatkan pertumbuhan dalam operasi Zon Bebasnya. Segmen tersebut berkembang sebanyak 8.0 peratus berbanding 2024, didorong oleh sektor e-dagang, pakaian sukan, barangan pengguna cepat laris (FMCG), alat ganti automotif dan bahan binaan.

“Sehingga kini, ruang gudang seluas tujuh juta kaki persegi di Zon Bebas Pelepas telah mencapai kadar penghunian sebanyak 98 peratus. Permintaan tinggi daripada pemain industri multinasional dan tempatan ini memperkukuh kedudukan PTP sebagai hab logistik serantau yang unggul.

“Segala kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan berterusan daripada pelanggan, rakan kongsi, dan pihak berkepentingan, serta dedikasi tenaga kerja kami.

“Fokus kami seterusnya adalah untuk mengoptimumkan kapasiti, memajukan pembangunan utama, dan bersedia untuk mengendalikan jumlah kendalian yang lebih tinggi, sambil kekal mengaplikasikan teknologi, proses yang mantap, keutamaan kepada pelanggan, dan keselamatan sebagai prinsip utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN