Proton catat jualan cecah 157,637 unit pada 2025

Proton catat jualan cecah 157,637 unit pada 2025

PROTON X50 mengekalkan kedudukan sebagai SUV segmen-B No.1 untuk lima tahun berturut-turut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton mencatatkan jumlah jualan keseluruhan kumpulan bagi 2025 kepada 157,976 unit dengan merekodkan pertumbuhan 3.5 peratus berbanding 2024.

Pengeluar kereta tempatan itu berkata, ia turut disumbangkan oleh jualan sebanyak 14,655 unit pada Disember, sekali gus meningkatkan pegangan pasaran Proton kepada anggaran 19.5 peratus, naik 0.8 peratus dalam tahun di mana Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan menguncup 1.6 peratus kepada 803,899 unit.

“Prestasi kukuh ini dipacu oleh beberapa pencapaian utama merangkumi prestasi model, pengembangan pasaran antarabangsa serta pelaksanaan inisiatif strategik nasional Proton.

“Barisan model Proton terus mencatat prestasi cemerlang merentasi pelbagai segmen, diterajui oleh Proton Saga yang merekodkan jualan tertinggi sejak 2011 dengan 73,338 unit sehingga kini (YTD). 

“Pada Oktober, ia menyaksikan 8,373 pendaftaran, jumlah bulanan tertinggi sejak bermulanya kerjasama strategik dengan Geely, manakala jualan Disember meningkat 12.4 peratus tahun ke tahun kepada 7,500 unit,” katanya dalam kenyataan.

Proton X50 mengekalkan kedudukan sebagai SUV segmen-B No.1 untuk lima tahun berturut-turut. 

Sepanjang 2025, sebanyak 28,046 unit YTD, meningkat 18.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh kemuncak jualan Ogos sebanyak 4,287 unit, tertinggi dalam tempoh 35 bulan.

Proton X70 pula mencatat jumlah pendaftaran kumulatif sebanyak 112,532 unit YTD sejak diperkenalkan, mengekalkan status sebagai SUV segmen-C paling berjaya sejak 2018.

Selain itu, Proton S70 terus menguasai segmen sedan-C bawah RM100,000 dengan kedudukan No.1 selama 15 bulan berturut-turut, manakala Proton X90 kekal sebagai peneraju SUV segmen-D, mendahului segmen tersebut selama 10 bulan pada 2025 dan memegang kedudukan teratas setakat ini sejak dilancarkan tiga tahun lalu.

Sementara itu, Proton e.MAS 7 mengukuhkan kedudukannya sebagai kenderaan elektrik (EV) No.1 di Malaysia setakat ini bagi 2025, mengekalkan tempat teratas selama ima bulan berturut-turut dari Jun hingga Oktober.

Bagi memenuhi peningkatan permintaan pelanggan, Proton memperluaskan rangkaiannya kepada 187 cawangan Proton Edar di seluruh negara, termasuk pembukaan 27 pusat 3S dan 4S baharu serta Sales City Centres.

Seiring dengan itu, rangkaian Proton e.MAS berkembang pesat dan kini merupakan rangkaian EV khusus terbesar di Malaysia. Proton kini mempunyai 48 pengedar e.MAS, merangkumi 36 pusat 3S, 12 pusat 18 dan 10 kemudahan Body & Paint khusus.

Bagi menyokong pengalaman pemilikan EV yang menyeluruh, sebanyak 44 pengedar e.MAS telah dilengkapi dengan kemudahan pengecas pantas DC, selari dengan usaha memperluaskan infrastruktur pengecasan nasional.

Dalam pada itu, melalui Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), jumlah eksport Proton mencatat pencapaian penting dengan 6,000 unit didaftarkan setakat tahun ke tarikh, tertinggi sejak 2013 dan peningkatan 26 peratus berbanding 2024.

Pada September 2025, Proton secara rasmi memasuki pasaran luar negara ketiganya dengan pelancaran EV pertama, Proton e.MAS 7, di Singapura, sekali gus menandakan kepulangan jenama Proton ke republik tersebut selepas kira-kira 11 tahun. Sepanjang 2025, sebanyak 224 unit dieksport ke Singapura.

Mesir muncul sebagai pasaran eksport terbesar dengan 2,280 unit, manakala Vietnam mencatat pencapaian bersejarah dengan 1,316 unit eksport untuk jenama Geely.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN