PNB tawar sukuk boleh tukar bercagar bernilai AS$300 juta - Utusan Malaysia

PNB tawar sukuk boleh tukar bercagar bernilai AS$300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan tawaran sulung sukuk boleh tukar bercagar bernilai AS$300 juta sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kepelbagaian portfolio serta meningkatkan daya tahan pelaburan jangka panjang kumpulan itu.

Sukuk itu diterbitkan melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang diperbadankan di Labuan, Lunas Capital II Ltd., dengan Lunas Capital I Ltd. sebagai pihak berkewajipan (obligor).

Tawaran sulung itu dirangka bagi membolehkan PNB mengumpul hasil dalam mata wang asing untuk dilaburkan dalam aset global, khususnya sukuk global, sekali gus menyokong strategi kepelbagaian portfolio selaras dengan persekitaran pelaburan yang semakin mencabar.

Tawaran itu akan ditukar kepada saham biasa Gamuda Berhad, sebuah syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur yang mempunyai operasi merangkumi Asia, Australia dan United Kingdom. 

Hasil terbitan pula akan diperuntukkan untuk pelaburan dalam aset sukuk global bertaraf gred pelaburan yang didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan mematuhi prinsip syariah.

ABDUL RAHMAN AHMAD

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, tawaran tersebut merupakan komitmen berterusan PNB untuk melaksanakan inisiatif pelaburan yang berwawasan dan inovatif.

“Kami terus memastikan portfolio kekal berdaya tahan dan relevan dalam landskap pelaburan yang semakin kompleks. 

“Tawaran sukuk boleh tukar ini membolehkan kami memanfaatkan nilai pegangan ekuiti domestik, mengurangkan risiko pertukaran asing serta menyediakan kepelbagaian yang lebih besar selaras dengan Perumpukan Aset Strategik di bawah Pelan Strategik LEAP 6,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan langkah itu selaras dengan komitmen PNB untuk mencapai prestasi berhemat yang disokong oleh tadbir urus kukuh dan pengurusan risiko mampan, sekali gus memastikan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang unit.

Sukuk boleh tukar berkenaan mempunyai tempoh matang lima tahun, dengan opsyen jual kepada pelabur pada akhir tahun ketiga. 

Kualiti kreditnya diperkukuh menerusi cagaran yang disediakan oleh Lunas Capital I Ltd. bagi pihak pemegang sukuk, meliputi saham asas Gamuda Berhad serta aset sukuk global yang didenominasikan dalam dolar AS.

Dengan kualiti kredit yang kukuh serta asas saham yang mantap, sukuk ini ditawarkan pada kadar keuntungan sifar peratus, disertai premium pertukaran sebanyak 10 peratus. 

Tawaran tersebut turut menerima sambutan positif daripada komuniti pelabur berkaitan ekuiti, termasuk pelabur jangka panjang dan pelbagai strategi dari Asia dan Eropah.

Tawaran itu dijangka memperluas landskap instrumen boleh tukar yang diniagakan secara global di Malaysia, selain menyokong pertumbuhan serta kecairan pasaran modal domestik.

Momentum berterusan ini juga mencerminkan permintaan kukuh terhadap pembiayaan patuh Syariah dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pasaran sukuk terbesar dunia, selain menjadi tunjang utama kepada pasaran pendapatan tetap negara. 

CIMB dan J.P. Morgan bertindak sebagai Pengurus Utama Tawaran Bersama serta Pengurus Utama Bersama bagi transaksi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN