PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment), anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad melancarkan PMB Shariah Stable Value Income Fund, sebuah dana borong pendapatan tetap patuh syariah yang ditawarkan secara eksklusif kepada pelabur sofistikated.
Dana itu direka khas untuk mengekalkan nilai aset bersih (NAB) seunit yang stabil, menjana aliran pendapatan yang konsisten serta menyediakan kecairan optimum sambil memelihara modal pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, dana itu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan pelaburan patuh syariah yang mengutamakan kestabilan dan pulangan boleh diramal.
“Dana ini amat sesuai untuk pelabur sofistikated, termasuk institusi kewangan, entiti korporat, yayasan dan individu beraset tinggi yang mencari cara cekap untuk mengurus kecairan sambil terus melabur,” katanya dalam kenyataan.
Dana tersebut melabur terutamanya dalam instrumen pasaran wang patuh syariah, sukuk jangka pendek dan deposit Islam, dengan mengamalkan pendekatan pelaburan konservatif yang menumpukan kepada pemuliharaan modal dan penjanaan pendapatan stabil.
la juga diposisikan sebagai penyelesaian pendapatan syariah berisiko rendah yang sesuai untuk pengurusan tunai korporat dan peruntukan aset defensif.
Sementara itu, dana itu menekankan ciri kecairan kukuh, membolehkan pelabur menguruskan keperluan dana jangka pendek dengan cekap tanpa menjejaskan prinsip syariah.
Pendekatan ini disokong oleh amalan pengurusan risiko yang berdisiplin serta pematuhan terhadap piawaian tadbir urus korporat yang teguh.
Dalam pada itu, pelancaran dana itu adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mengembangkan portfolio penawaran produk syariah yang defensif dan berfokuskan pendapatan.
la melengkapkan rangkaian sedia ada dana unit amanah, dana borong dan penyelesaian mandat persendirian yang ditawarkan oleh PMB Investment.
PMB Shariah Stable Value Income Fund kini terbuka untuk langganan, tertakluk kepada keperluan kelayakan pelabur sofistikated serta terma dan syarat yang dinyatakan dalam Memorandum Maklumat serta Helaian Sorotan Produk dana. – UTUSAN










