PETALING JAYA: Permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah dijangka mencatat penamat positif pada 2025, sekali gus mencerminkan minat pembelian yang kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran.
Menurut data Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman pembelian hartanah adalah mendatar pada RM55.3 bilion pada November 2025, meningkat marginal sebanyak 0.14 peratus tahun ke tahun.
Prestasi itu hadir selepas tiga bulan berturut-turut mencatat peningkatan dari Ogos hingga Oktober 2025.
Secara bulanan, jumlah permohonan pinjaman susut 8.3 peratus pada November berbanding peningkatan 9.6 peratus pada bulan sebelumnya, namun secara kumulatif bagi 11 bulan pertama 2025, jumlah permohonan meningkat kepada RM605.7 bilion, naik 3.08 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penganalisis MBSB Investment, Jessica Low Jze Tieng berkata, prestasi tersebut menunjukkan minat pembelian hartanah kekal stabil dan berada pada landasan untuk mencatat pertumbuhan positif bagi keseluruhan tahun 2025, selepas berkembang 4.85 peratus pada 2024.
“Secara keseluruhan, minat pembelian hartanah kekal berdaya tahan dan kami menjangkakan momentum ini akan berterusan pada 2026, disokong oleh prospek sektor yang positif.
“Dalam perkembangan berkaitan, jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah meningkat 8.5 peratus kepada RM23.6 bilion pada November 2025, didorong oleh kadar kelulusan yang lebih tinggi iaitu 42.7 peratus berbanding 39.4 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
“Bagaimanapun, kelulusan pinjaman secara bulanan menurun 13.5 peratus berikutan permohonan pinjaman yang lebih rendah serta penurunan nisbah kelulusan. Secara kumulatif, jumlah pinjaman diluluskan bagi 11 bulan 2025 meningkat kepada RM263.5 bilion, sejajar dengan prestasi jualan hartanah syarikat pemaju yang lebih baik,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, beliau berkata, Indeks Hartanah Kuala Lumpur (KL Property Index) terus ketinggalan berbanding Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pada 2025 apabila mencatat kejatuhan enam peratus, berbanding peningkatan 2.3 peratus oleh KLCI.
“Antara saham hartanah yang mencatat kejatuhan terbesar tahun lalu ialah Iskandar Waterfront City, S P Setia, South Malaysia Industries, Pegasus Heights dan YNH Property.
“Namun, MBSB Investment berpandangan prestasi indeks tersebut belum mencerminkan asas sektor yang kukuh, memandangkan kebanyakan syarikat hartanah merekodkan pendapatan yang baik serta jualan baharu yang stabil sepanjang 2025,” katanya.
Indeks Hartanah KL kini menunjukkan tanda pemulihan dengan kenaikan enam peratus setakat tahun ini dan dijangka terus meningkat, disokong oleh pemangkin utama seperti Projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS) serta Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Selain itu, pengembangan ke segmen hartanah industri turut dilihat sebagai pemacu pertumbuhan baharu yang mampu menyokong prospek jangka sederhana dan panjang sektor tersebut.
Sehubungan itu, MBSB Investment mengekalkan saranan positif terhadap sektor hartanah dengan tiga pilihan utama iaitu Mah Sing Group, Matrix Concepts dan UOA Development.
Mah Sing Group disaran beli dengan harga sasaran RM1.54, disokong oleh pengembangan pendedahan dalam hartanah industri menerusi usaha sama terbaharu serta jualan kukuh bagi projek rumah mampu milik.
Matrix Concepts pula disaran beli dengan harga sasaran RM1.65, dipacu oleh jualan stabil di Bandar Sri Sendayan serta projek MVV City yang dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan, sejajar dengan perkembangan ekonomi Negeri Sembilan.
Bagi UOA Development, syarikat itu turut menerima saranan beli dengan harga sasaran RM2.01, disokong oleh pelancaran projek sulung di Johor pada 2026, kedudukan tunai bersih yang kukuh serta pulangan dividen menarik sekitar 5.3 peratus. – UTUSAN










