Perdagangan negara melonjak kepada RM3.1 trilion tahun lalu, tertinggi dalam sejarah - Utusan Malaysia

Perdagangan negara melonjak kepada RM3.1 trilion tahun lalu, tertinggi dalam sejarah

DAGANGAN Malaysia catat rekod baharu, lepasi RM3 trilion tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah dagangan negara pada 2025 melonjak kepada RM3.1 trilion, tertinggi dalam sejarah berbanding RM2.9 trilion pada 2024, sekali gus membuktikan prestasi dagangan yang kukuh.

Eksport negara pada Disember 2025 juga mencatat paras tertinggi bulanan pada RM153 bilion, meningkat 10.4 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut mencerminkan asas ekonomi yang lebih mapan dengan eksport dan import masing-masing merekodkan pertumbuhan dua angka pada Disember 2025.

Menurutnya, import meningkat 12.0 peratus kepada RM133.7 bilion, manakala lebihan dagangan naik secara marginal 0.1 peratus kepada RM19.3 bilion, menandakan lebihan dagangan bulan ke-68 berturut-turut sejak Mei 2020.

“Berbanding November 2025, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 13.4 peratus, 3.7 peratus, 8.7 peratus dan 216.8 peratus.

“Eksport Disember 2025 disokong oleh peningkatan eksport semula dan eksport domestik. Eksport semula, yang menyumbang 25 peratus daripada jumlah eksport, melonjak 35 peratus kepada RM38.2 bilion, manakala eksport domestik meningkat 4.0 peratus kepada RM114.8 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Dari segi rakan dagang, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh Amerika Syarikat dengan pertambahan RM9.2 bilion, diikuti Kesatuan Eropah (RM3.2 bilion), Taiwan (RM2.2 bilion), Vietnam (RM1.9 bilion), Hong Kong (RM1.2 bilion), Indonesia (RM1.1 bilion) dan Mexico (RM765 juta).

Import pula meningkat terutamanya dari China dengan tambahan RM7.9 bilion, diikuti Republik Korea dan Vietnam masing-masing RM2.0 bilion, Costa Rica (RM1.5 bilion), Jepun (RM1.4 bilion), Hong Kong (RM1.3 bilion) dan Taiwan (RM1.1 bilion).

Mengikut kumpulan barangan, peningkatan eksport didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E) dengan tambahan RM14.9 bilion, diikuti bijih logam dan serpihan logam (RM1.1 bilion), barangan optik dan saintifik (RM1.1 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan besi dan keluli.

Peningkatan import pula disumbangkan oleh kemasukan E&E (RM8.9 bilion), tekstil, pakaian dan kasut (RM1.8 bilion), keluaran plastik (RM1.5 bilion), kelengkapan pengangkutan (RM1.2 bilion) serta jentera dan peralatan.

Mengulas penggunaan akhir, Mohd. Uzir berkata, import barangan penggunaan meningkat 27.6 peratus kepada RM13.1 bilion, manakala import barang perantaraan meningkat 3.6 peratus kepada RM63.2 bilion. Sebaliknya, import barangan modal menurun 11.8 peratus kepada RM15.3 bilion.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, jumlah dagangan Malaysia berkembang 6.3 peratus tahun ke tahun, disokong oleh peningkatan eksport 6.5 peratus dan import 6.2 peratus. Lebihan dagangan turut meningkat 9.2 peratus kepada RM151.8 bilion.

“Prestasi dagangan pada suku tahun keempat 2025 juga kekal kukuh dengan eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing meningkat 11.0 peratus, 12.6 peratus dan 11.7 peratus, walaupun lebihan dagangan menyusut sedikit kepada RM45.8 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN