KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit dan pelaksanaan gaji minimum mendorong peningkatan kuasa beli pekerja migran, sekali gus memberi kesan positif kepada perbelanjaan domestik dan ekonomi tempatan.
Ketua Pegawai Komersial Merchantrade Asia, Ivan Alias berkata, trend tersebut dapat dilihat melalui peningkatan baki purata akaun pekerja migran yang menggunakan instrumen pembayaran gaji digital, sekali gus menunjukkan peningkatan pendapatan boleh guna kumpulan itu.
“Apabila baki purata meningkat, ini bermakna mereka mempunyai lebih wang di tangan dan sebahagian daripadanya dibelanjakan dalam ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi panel Peningkatan Ringgit, Implikasi 2026 di Hari Korporat Malaysia Tahunan ke-18 CGS International 2026, semalam.
Ivan berkata, situasi itu turut dipengaruhi oleh pengurangan keperluan penghantaran wang ke negara asal berikutan kos sara hidup dan komitmen kewangan keluarga yang kekal hampir sama.
“Apabila mereka tidak perlu menghantar jumlah yang besar seperti sebelum ini, lebihan pendapatan tersebut digunakan untuk perbelanjaan domestik seperti makanan, pengangkutan dan keperluan harian.
“Sekiranya kestabilan ekonomi serantau dan pengukuhan ringgit dapat dikekalkan, ia akan terus memberi manfaat kepada pengguna termasuk pekerja migran yang aktif berbelanja di pasaran tempatan,” katanya.
Mengulas mengenai aliran kemasukan pekerja asing, beliau berkata, permintaan terhadap pekerjaan di Malaysia semakin meningkat, khususnya dari negara sumber seperti Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.
“Pengukuhan ringgit bukan hanya berita tempatan, sebaliknya turut diketahui di peringkat antarabangsa. Ia menjadikan Malaysia lebih menarik sebagai destinasi bekerja,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan gaji minimum pada 2025 juga menjadi antara faktor utama peningkatan minat pekerja asing untuk datang ke Malaysia, walaupun kerajaan sedang berusaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja migran.
“Pengukuhan ringgit setakat ini tidak memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan, malah data perniagaan Merchantrade menunjukkan peningkatan berterusan sejak penghujung tahun lalu.
“Walaupun laporan rasmi kerajaan hanya tersedia sehingga April, berdasarkan data dalaman kami, trend kemasukan pelancong dan aktiviti perbelanjaan masih menunjukkan peningkatan,” tambahnya. – UTUSAN










