PETALING JAYA: Pekat Group Berhad (Pekat) melalui anak syarikat tidak langsungnya, EPE Switchgear (M) Sdn. Bhd., memperoleh kontrak bernilai RM113.31 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pembekalan peralatan elektrik voltan sederhana.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, EPE Switchgear yang dimiliki sebanyak 60 peratus secara tidak langsung telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada TNB pada 31 Disember 2025, bertarikh 29 Disember 2025, bagi tender pembekalan 11 kilovolt (kV) motorized Ring Main Units (RMU) lengkap dengan interconnector serta Remote Control Box (RCB) dalam pelbagai konfigurasi.
Menurut Pekat, kontrak tersebut melibatkan tempoh pelaksanaan selama dua tahun bermula dari tarikh kuat kuasa LOA, dengan nilai kontrak merangkumi cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“TNB merupakan syarikat utiliti tenaga nasional yang terlibat dalam penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik dan kontrak ini adalah selaras dengan keperluan spesifikasi serta piawaian teknikal yang ditetapkan oleh TNB,” menurut kenyataan itu.
Sebagai sebahagian daripada terma kontrak, EPE Switchgear dikehendaki menyediakan jaminan prestasi bernilai kira-kira RM5.67 juta, bersamaan lima peratus daripada jumlah kontrak, dalam tempoh 28 hari daripada tarikh LOA, selain mendapatkan perlindungan insurans berkaitan sebelum kerja-kerja dimulakan.
Dari segi kewangan, Pekat menjangkakan kontrak berkenaan akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan, pendapatan sesaham serta aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 sehingga tamat tempoh kontrak.
Kontrak tersebut bagaimanapun tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
Lembaga Pengarah Pekat berkata, tiada sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, melibatkan pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif syarikat berhubung kontrak berkenaan.
“Selepas mempertimbangkan semua aspek, lembaga berpendapat penerimaan kontrak ini adalah dalam urusan biasa perniagaan kumpulan dan merupakan langkah terbaik untuk kepentingan Pekat,” katanya.-UTUSAN










