KUALA LUMPUR: One Gasmaster Holdings Berhad (OGM) dibuka pada harga 23.5 sen sesaham di Pasaran ACE Bursa Malaysia, 1.5 sen lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen.
Pada harga terakhirnya, One Gasmaster mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM68 juta.
Pengarah Urusannya, Ivan Tan berkata, penyenaraian itu mengukuhkan kredibiliti syarikat di mata pelanggan dan menyediakan akses kepada modal bagi menyokong pelan pengembangan kumpulan.
“Melangkah ke hadapan, peluasan terancang ke dalam penyelesaian kawalan pelepasan, bersama-sama peningkatan keupayaan penentukuran akan terus mengukuhkan cadangan nilai serta kedudukan daya saing kami.
“Perancangan kumpulan untuk menubuhkan cawangan baharu di Johor, Terengganu dan Pulau Pinang akan mendekatkan kami dengan pelanggan, meningkatkan kecekapan tindak balas perkhidmatan dan mengukuhkan kehadiran pasaran kami di luar Lembah Klang.
“Wilayah-wilayah itu merupakan hab industri yang penting dan pihaknya yakin pengembangan itu akan mengukuhkan lagi kehadiran pasaran serta memperkukuh kedudukan OGM di peringkat nasional,” katanya selepas penyenaraian One Gasmaster di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad, di sini, hari ini.
Daripada jumlah hasil kasar sebanyak RM19.38 juta yang diperoleh melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO), OGM akan memperuntukkan 19.41 peratus bagi memperluaskan penawaran perkhidmatan syarikat untuk merangkumi penyediaan penyelesaian kawalan pelepasan.
Sebanyak 8.66 peratus diperuntukkan bagi penubuhan sebuah makmal penentukuran tambahan di pejabat Damansara manakala 25.22 peratus bagi penubuhan cawangan baharu serta makmal penentukuran di kawasan terbabit.
Selain itu, sebanyak 26.06 peratus akan digunakan bagi keperluan modal kerja dan 20.65 peratus bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.
Mengulas mengenai trend industri, Ivan berkata, penyenaraian syarikat adalah selari dengan peningkatan penekanan terhadap pematuhan peraturan alam sekitar yang dijangka akan menyokong permintaan jangka panjang bagi penyelesaian pemantauan alam sekitar, penentukuran dan kawalan pelepasan.
“Pengukuhan ringgit memberi kelebihan kepada syarikat apabila kos perolehan peralatan import menjadi lebih rendah sekali gus membantu meningkatkan margin.
“Meskipun ketegangan geopolitik memberi kesan kepada kumpulan, persekitaran perniagaan kini semakin positif apabila projek kembali berjalan dan pelanggan mula berhubung semula,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif One Gasmaster, Timothy Tan Heng Han berkata, kumpulan itu telah memainkan peranan penting secara senyap di sebalik tabir pertumbuhan industri Malaysia sejak 27 tahun lalu.
“Bermula pada 1998 sebagai penyedia penyelesaian pengesanan gas, kumpulan telah berkembang menjadi penyedia bersepadu bagi penyelesaian pemantauan alam sekitar dan pematuhan persekitaran industri, menyokong industri yang menuntut tahap keselamatan, ketepatan dan pematuhan peraturan yang tinggi,” katanya.
Tambahnya, syarikat telah menerima IPO kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 25.24 kali yang mencerminkan kepercayaan dan keyakinan para pelabur terhadap visi serta potensi pertumbuhan jangka panjang. – UTUSAN










