Kenanga saran IJM tolak pengambilalihan Sunway

Nilai tawaran di bawah harga sasaran, Kenanga saran IJM tolak pengambilalihan Sunway

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Research menyifatkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh Sunway Bhd terhadap IJM Corporation Bhd sebagai kurang menarik dan menasihatkan pemegang saham supaya menolaknya.

Tawaran itu melibatkan harga RM3.15 sesaham, yang terdiri daripada 10 peratus tunai dan 90 peratus pertukaran saham Sunway pada harga rujukan RM5.65 sesaham.

Menurut Kenanga Research, harga tawaran berkenaan dianggap rendah kerana berada di bawah harga sasaran IJM Corp yang ditetapkan pada RM3.40 sesaham.

Firma penyelidikan itu berkata, komponen pertukaran saham itu menilai Sunway pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang tinggi berdasarkan anggaran keuntungan tahun 2026, berbanding IJM.

“Berdasarkan harga sasaran Sunway RM4.73, nilai efektif tawaran kepada pemegang saham IJM hanyalah sekitar RM2.69 sesaham. Nilai ini bukan sahaja lebih rendah daripada harga semasa IJM RM2.75, malah jauh di bawah harga sasaran kami pada RM3.40,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Walaupun penggabungan dengan Sunway berpotensi meningkatkan kecekapan operasi serta margin segmen pembinaan, selain mewujudkan sinergi dalam sektor hartanah dan pembuatan industri, Kenanga Research berpandangan manfaat tersebut belum cukup untuk mengimbangi penilaian tawaran yang rendah.

Tawaran pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026. 

Sunway turut memaklumkan bahawa ia tidak bercadang untuk mengekalkan penyenaraian IJM sekiranya syarat pegangan saham awam minimum tidak dipenuhi.

Dalam perkembangan berkaitan, RHB Research berkata, IJM Corp menyasarkan penambahan tempahan kerja antara RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun kewangan 2026.

“Peluang utama termasuk tiga projek pusat data, dua projek industri serta projek perumahan di Nusantara bernilai lebih RM1 bilion.

“Pengurusan IJM juga menjangkakan pemeteraian satu lagi kontrak pusat data berskala besar menjelang akhir tahun kewangan 2026,” katanya.

Antara projek utama lain yang sedang dilaksanakan atau dirancang termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line Pulau Pinang (Pakej 2), Menara 118, pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta beberapa projek jalan raya di Sarawak.

Kenanga Research mengekalkan unjuran keuntungan IJM bagi tahun berakhir 2026 dan tahun berakhir 2027, disokong oleh jangkaan perolehan projek bernilai sekitar RM5 bilion setahun. 

“Harga sasaran berdasarkan kaedah Sum-of-Parts (SOP) turut dikekalkan pada RM3.40 sesaham.

“Segmen pembinaan IJM dinilai pada PER yang tinggi berdasarkan anggaran keuntungan tahun 2026 sebanyak 22 kali, selaras dengan penilaian syarikat pembinaan besar lain seperti Gamuda Bhd dan Sunway Construction Group Bhd.

“Tiada pelarasan dibuat terhadap harga sasaran berdasarkan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sejajar dengan penarafan ESG tiga bintang syarikat,” katanya. 

IJM terus dilihat menarik kepada pelabur berikutan penglibatannya dalam projek LRT Pulau Pinang, buku tempahan kukuh bernilai RM9.3 bilion, jualan hartanah baharu RM187 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 serta pemilikan Pelabuhan Kuantan, pelabuhan terbesar di Pantai Timur.

Selain itu, potensi pelupusan aset lebuh raya bertol berupaya mengurangkan kedudukan hutang bersih syarikat dan menjadi pemangkin kepada penilaian semula saham.

Risiko utama kepada prestasi kumpulan termasuk aliran projek pembinaan yang lemah, peningkatan kos projek serta liabiliti ganti rugi ditetapkan (LAD). 

Bagi tahun berakhir 2026, prestasi kewangan IJM diunjurkan mencatatkan hasil sekitar RM6.45 bilion, keuntungan bersih RM530 juta dan keuntungan sesaham (EPS) teras 14.4 sen, meningkat 11.8 peratus berbanding tahun berakhir 2025. 

Nilai aset ketara bersih (NTA) sesaham dianggarkan pada RM2.85, dengan nisbah harga kepada nilai buku (PBV) 0.96 kali serta hasil dividen sekitar 2.9 peratus.

Projek pusat data IJM melibatkan enam projek dengan nilai kontrak antara RM250 juta hingga RM1.40 bilion, merangkumi kerjasama bersama TM Technology, Pearl Computing serta rakan strategik lain di Johor dan Pulai.

Penilaian SOP IJM dibuat berdasarkan penilaian berasingan setiap segmen perniagaan, termasuk pembinaan dan bahan binaan bernilai kira-kira RM6.69 bilion, hartanah RM3.84 bilion selepas diskaun 50 peratus RNAV, pelabuhan berdasarkan pegangan 60 peratus bernilai RM1.28 bilion serta lebuh raya bertol sekitar RM1.77 bilion.

Jumlah nilai tersebut ditolak hutang bersih sekitar RM1.16 bilion, menjadikan anggaran nilai ekuiti IJM kira-kira RM12.42 bilion atau bersamaan RM3.40 sesaham.

Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan saranan mengatasi prestasi pasaran terhadap IJM dan sekali lagi menegaskan pemegang saham wajar menolak tawaran pengambilalihan Sunway yang disifatkan tidak mencerminkan nilai sebenar syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN