MMC Ports lepasi 20 juta TEU pada 2025

MMC Ports lepasi 20 juta TEU pada 2025, catat prestasi terbaik setakat ini

NORTHPORT mencapai pemprosesan kontena tahunan tertinggi sebanyak 3.80 juta TEU dan pemprosesan kargo konvensional tertinggi pada 12.90 juta FWT pada 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports), kumpulan pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia mencatat pencapaian penting dalam industri maritim apabila berjaya melepasi paras 20 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) di seluruh rangkaian pelabuhannya pada 2025.

Pencapaian bersejarah itu didorong oleh pelaksanaan strategi transformasi menyeluruh merangkumi pendigitalan, pengembangan infrastruktur serta pembangunan modal insan, sekali gus mengukuhkan kedudukan MMC Ports sebagai pengendali pelabuhan terkemuka di peringkat serantau.

Prestasi kukuh berkenaan disumbangkan oleh lima pelabuhan utama di bawah kumpulan itu iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor Port, Northport, Penang Port dan Tanjung Bruas Port.

Menurut kenyataannya, PTP mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang melepasi paras 13 juta dan 14 juta TEU dalam tempoh setahun. 

“Pelabuhan itu turut mencatat prestasi operasi luar biasa dengan rekod 189,306 pergerakan kontena dalam seminggu, 15,041 pergerakan dalam satu syif 12 jam serta 1,442 pergerakan dalam tempoh satu jam.

“Kepentingan strategik PTP turut diiktiraf di peringkat global apabila dipilih sebagai Hab Utama Asia bagi Kerjasama Gemini dan dinamakan sebagai Pelabuhan Paling Pesat Berkembang di Dunia bagi separuh pertama 2025 oleh Alphaliner.

“Northport pula merekodkan pengendalian kontena tahunan tertinggi sebanyak 3.80 juta TEU dan pengendalian kargo konvensional tertinggi mencecah 12.90 juta berat muatan tan (FWT).

“Pelabuhan itu turut mencatat rekod bulanan tertinggi dengan 366,131 TEU pada Oktober 2025 serta 1.33 juta FWT kargo konvensional pada September 2025,” katanya. 

Pengerusi MMC Ports, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian melepasi 20 juta TEU bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan disiplin jangka panjang, kerjasama kukuh serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan operasi.

“Tahun 2025 menandakan satu detik penting bagi MMC Ports. Ketika kejayaan ini diraikan, kami kekal komited untuk membangunkan pelabuhan yang berdaya saing, mampan dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya. 

Sementara itu, Johor Port merekodkan jumlah kontena tahunan tertinggi dalam sejarahnya sebanyak 1.08 juta TEU, selain mencapai pengendalian bulanan tertinggi 103,153 TEU pada Ogos 2025 dan rekod harian tertinggi 8,876 TEU pada November 2025. 

“Secara keseluruhan, jumlah kargo konvensional yang dikendalikan pelabuhan itu mencecah 16.95 juta FWT.

“Di utara tanah air, Penang Port mencatatkan peningkatan jumlah penumpang feri kepada 3.13 juta orang pada 2025 berbanding 2.87 juta orang pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 8.96 peratus, sekali gus mengukuhkan perkhidmatan feri sebagai pilihan pengangkutan utama antara tanah besar dan pulau.

“Tanjung Bruas Port pula merekodkan pengendalian kontena tertinggi dalam sejarahnya sebanyak 31,032 TEU, iaitu jumlah tertinggi sejak pengendalian kontena diperkenalkan di pelabuhan itu pada 2019,” katanya. 

Dalam pada itu,, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, prestasi memecahkan rekod pada 2025 membuktikan keberkesanan inisiatif transformasi yang dilaksanakan kumpulan itu melalui pendigitalan, pengembangan infrastruktur dan dedikasi warga kerja.

“Pencapaian ini memberikan momentum yang kukuh untuk MMC Ports melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya sebagai pengendali pelabuhan yang dipercayai di peringkat serantau dan global.

“Penambahbaikan strategik yang dilaksanakan ini meletakkan MMC Ports pada kedudukan kukuh untuk memenuhi permintaan perdagangan masa hadapan serta memastikan daya saing jangka panjang dalam landskap logistik global,” katanya. 

Tambahnya, 2026 turut menandakan ulang tahun ke-20 MMC Ports, satu mercu tanda yang mencerminkan pertumbuhan mampan dan kecemerlangan operasi berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN