Maxim Malaysia tumpu perkhidmatan luar dan pinggir bandar - Utusan Malaysia

Maxim Malaysia tumpu perkhidmatan luar dan pinggir bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan e-hailing, Maxim E-hailing Malaysia (Maxim Malaysia) akan memberi tumpuan khusus kepada perluasan perkhidmatan di kawasan luar dan pinggir bandar serta sektor penghantaran makanan dan barangan.

Langkah peluasan bagi 2026 itu diambil susulan kejayaan syarikat mencatatkan tahun transformasi yang signifikan sepanjang 2025, terutamanya kejayaan mencapai pematuhan pelesenan pemandu sebanyak 100 peratus yang diiktiraf oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Pengarah Maxim Malaysia, Mohd. Hazwan Musley berkata, pencapaian pematuhan penuh serta pengukuhan operasi pada tahun lalu menjadi asas penting bagi syarikat untuk menggerakkan fasa pertumbuhan seterusnya.

Menurutnya, strategi tahun ini bukan sahaja memfokuskan kepada mobiliti penumpang, tetapi juga mempelbagaikan aliran pendapatan rakan pemandu melalui segmen logistik dan penghantaran.

“Kerja yang kami laksanakan sepanjang tahun ini adalah untuk membina asas yang kukuh, bertanggungjawab dan mampan.

“Pelan hala tuju kami bagi 2026 adalah jelas iaitu bagi memperluas peluang kepada pemandu, mencapai komuniti baharu dan menambah baik perkhidmatan kami,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Hazwan berkata, syarikat akan mempergiatkan usaha menarik rakan pemandu baharu dan membantu mereka melengkapkan pematuhan undang-undang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di semua wilayah, termasuk kawasan pinggir bandar.

Katanya, inisiatif ini sejajar dengan misi Maxim untuk memastikan akses mobiliti yang lebih luas, mampu milik dan boleh dipercayai untuk semua lapisan masyarakat, sekali gus mewujudkan pasaran e-hailing yang lebih kompetitif di Malaysia.

Mengulas mengenai prestasi tahun lalu, Maxim telah memperkukuh perkhidmatan terasnya menerusi pelancaran ciri keselamatan baharu seperti pilihan ‘Women’s Rate’ dan penambahbaikan fungsi SOS dalam aplikasi.

“Syarikat turut menjadi perintis kepada program ‘Drive for Inclusion’ bagi membuka peluang pendapatan kepada pemandu berkeperluan khas (OKU) serta melaksanakan lebih 50 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan.

“Misi kami sememangnya sejak awal adalah untuk menyediakan mobiliti yang mudah diakses oleh semua.

“Kerjasama dan program yang dilaksanakan tahun ini mengukuhkan bahawa apa yang kami sediakan bukan sekadar perjalanan, tetapi ia merupakan satu perkhidmatan penting yang menyokong maruah, keterangkuman dan kekuatan komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN