PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM286.6 bilion pada Disember 2025 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM153.0 bilion dan RM133.7 bilion, menurut Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Disember 2025.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada Disember 2025 mencapai RM153.0 bilion, mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM14.3 bilion (10.4 peratus).
“Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di Johor (+RM9.4 bilion), Pulau Pinang (+RM8.6 bilion), Perak (+RM546.5 juta) dan Selangor (+RM90.8 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di Sarawak sebanyak RM1.1 bilion, Sabah (-RM921.8 juta), Terengganu (-RM757.2 juta), Melaka (-RM378.0 juta), Pahang (-RM185.9 juta) dan Kedah (-RM104.9 juta).
“Ia turut diikuti oleh Kelantan (-RM103.0 juta), Labuan (-RM89.9 juta), Kuala Lumpur (-RM68.6 juta), Negeri Sembilan (-RM41.6 juta) dan Perlis (-RM11.8 juta).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 40.1 peratus, diikuti oleh Johor (22.5 peratus), Selangor (14.7 peratus), Sarawak (6.0 peratus) dan Kuala Lumpur (3.3 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai prestasi import, beliau berkata, import pada bulan Disember 2025 meningkat RM14.3 bilion (+12.0 peratus) berbanding bulan yang sama pada 2024.
“Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5.8 bilion), Johor (+RM3.6 bilion), Kedah (+RM2.3 bilion), Selangor (+RM2.3 bilion) dan W.P. Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion).
“Ia diikuti oleh Perak (+RM753.5 juta), Negeri Sembilan (+RM265.6 juta), Pahang (+RM207.0 juta),Terengganu (+RM58.1 juta) dan Sabah (+RM50.6 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai import menurun di Melaka sebanyak RM1.3 bilion, Sarawak (-RM359.5 juta), Labuan (-RM282.0 juta), Perlis (-RM35.7 juta) dan Kelantan (-RM21.8 juta).
“Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 27.0 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (24.8 peratus), Johor (21.1 peratus) , Kuala Lumpur (7.7 peratus) dan Kedah (7.0 peratus),” ujarnya. – UTUSANhttp://utusan.com.my










