MAG sedia kendali lebih 2,400 penerbangan sempena Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

MAG sedia kendali lebih 2,400 penerbangan sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) bersedia mengendalikan lebih 2,400 penerbangan sepanjang tempoh perjalanan puncak Tahun Baharu Cina, sebagai langkah memperkukuh kesalinghubungan domestik dan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat serta lancar.

MAG dalam kenyataannya berkata, jadual perayaan itu meliputi tempoh 11 hingga 23 Februari ini, dengan penambahan sehingga 198 penerbangan oleh Malaysia Airlines dan Firefly bagi memenuhi lonjakan permintaan bermusim.

“Dalam tempoh berkenaan, Malaysia Airlines dijadual mengendalikan sehingga 1,498 penerbangan, termasuk tambahan 130 perkhidmatan, manakala Firefly akan mengoperasikan sehingga 962 penerbangan antara 13 hingga 23 Februari 2026, termasuk sehingga 68 penerbangan tambahan. 

“Pengembangan operasi itu memfokuskan laluan utama pulang ke kampung antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, termasuk Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan, sekali gus mengukuhkan peranan kumpulan itu sebagai penghubung utama rakyat Malaysia ketika musim perayaan.

“Peningkatan kapasiti ini mencerminkan perancangan awal dan komitmen berterusan kami untuk memastikan kebolehpercayaan rangkaian domestik, khususnya ketika tempoh perjalanan paling sibuk,” katanya. 

Sebagai menyokong inisiatif perjalanan perayaan Kerajaan, Malaysia Airlines dan Firefly turut menawarkan tambang subsidi sehala semua termasuk dari Kuala Lumpur ke destinasi terpilih di Malaysia Timur bagi tempoh puncak Tahun Baharu Cina antara 13 hingga 16 Februari 2026.

Malaysia Airlines menawarkan tambang subsidi sehingga RM569 sehala semua termasuk ke destinasi seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu. 

Firefly pula menawarkan tambang subsidi sehingga RM548 sehala semua termasuk ke Kota Kinabalu, Tawau, Kuching dan Sibu.

Tambah MAG, inisiatif tambang subsidi itu melengkapkan jadual penerbangan tambahan, sekali gus membantu meringankan kos perjalanan dan memastikan akses lebih luas kepada kapasiti penerbangan yang ditingkatkan sepanjang musim perayaan.

“Penumpang Malaysia Airlines dan Firefly juga ditawarkan pengalaman perjalanan yang lebih menyeluruh dengan kemudahan bagasi berdaftar percuma, hidangan ringan dalam penerbangan serta pilihan penjadualan semula penerbangan bagi kategori tambang tertentu.

“Firefly turut menawarkan kemudahan tambahan dengan operasi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, manakala penumpang Malaysia Airlines menikmati kemudahan bagasi daftar terus serta hidangan termasuk bagi penerbangan bersambung,” tambahnya. 

Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha strategik MAG dalam menyokong mobiliti rakyat, merancakkan aktiviti ekonomi domestik serta memastikan kelancaran pergerakan penumpang sepanjang musim perayaan utama negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN