Laluan hijau tingkat kecekapan ketibaan penumpang di KLIA - Utusan Malaysia

Laluan hijau tingkat kecekapan ketibaan penumpang di KLIA

ANTHONY Loke melihat barangan yang dirampas ketika melakukan tinjauan kerja sempena pelaksanaan ‘green lane’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penumpang antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kini menikmati proses keluar yang lebih lancar dengan pengenalan inisiatif ‘green lane’ atau laluan hijau selepas mengambil bagasi masing-masing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan di balai tuntutan bagasi yang sebelum ini berpunca daripada penggunaan satu laluan pemeriksaan kastam sahaja.

Jelasnya, terdapat tiga laluan keluar disediakan selepas penumpang menuntut bagasi mereka iaitu dua laluan hijau dan satu laluan merah.

“Laluan hijau dikhaskan kepada penumpang yang tidak membawa sebarang barangan untuk diisytiharkan atau ‘nothing to declare’. Maksudnya, mereka tidak membawa apa-apa barangan larangan, mereka boleh terus keluar ke balai ketibaan tanpa perlu melalui pemeriksaan X-ray.

“Namun, sekiranya penumpang membawa barangan terlarang atau barangan yang perlu diisytiharkan, mereka boleh membuat pengisytiharan kepada pihak kastam setelah merujuk notis yang disediakan.

“Penumpang terbabit perlu melalui laluan merah untuk tujuan pengisytiharan, termasuk pembayaran duti atau pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan kerja sempena pelaksanaan ‘green lane’ di KLIA T1.

Menurut beliau, hasil perbincangan selama beberapa bulan antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), semua pihak bersetuju untuk memperkenalkan semula konsep tersebut dengan penambahbaikan.

Anthony berkata, pelaksanaan sistem tersebut bukan sahaja memudahkan proses ketibaan penumpang antarabangsa, malah membantu menyuraikan aliran trafik penumpang di KLIA Terminal 1 dengan lebih cekap.

Katanya, berdasarkan tinjauan, konsep laluan hijau yang bermula sejak awal pagi hari ini menunjukkan pergerakan penumpang lebih lancar selain memudahkan proses ketibaan.

“Sebelum ini semua penumpang melalui satu laluan dan ada kalanya bagasi perlu melalui mesin pengimbas X-ray, menyebabkan berlaku kelewatan serta barisan panjang di balai ketibaan,” ujarnya.

Tambahnya, inisiatif berkenaan juga selari dengan jangkaan peningkatan ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, sekali gus memerlukan penambahbaikan dari segi kecekapan pengurusan penumpang di lapangan terbang.

Jelasnya, tempoh percubaan akan berlangsung sehingga 26 Februari depan dan sekiranya pelaksanaannya berkesan, prosedur operasi standard (SOP) sama akan diperluaskan ke KLIA Terminal 2 serta lapangan terbang antarabangsa lain yang mempunyai pemeriksaan kastam, antaranya di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Di Terminal 1 KLIA sahaja, seramai 80,000 hingga 90,000 penumpang direkodkan setiap hari, dengan kira-kira 60 peratus atau antara 50,000 hingga 60,000 merupakan penumpang antarabangsa yang perlu melalui pemeriksaan kastam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN