Kia rombak strategi harga, tawar Sportage bermula RM128,800

Kia rombak strategi harga, tawar Sportage bermula RM128,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM) memulakan operasi rasminya di Malaysia dengan memperkenalkan strategi harga baharu, program kesetiaan pelanggan serta penawaran insurans berjenama Kia, sebagai usaha membina semula keyakinan pasaran terhadap jenama itu.

Langkah strategik berkenaan merangkumi penstrukturan semula harga bagi keseluruhan portfolio sedia ada, termasuk penawaran harga lebih kompetitif untuk model utama dalam segmen Kenderaan utiliti sukan (SUV) dan Kenderaan Serba Guna (MPV).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KSM, Hyung Ho Kim berkata, penubuhan sebuah Syarikat Jualan Nasional (NSC) yang berdiri sendiri menandakan komitmen jangka panjang Kia untuk terus kekal dan berkembang di pasaran Malaysia.

“Tahun baharu ini melambangkan permulaan baharu buat Kia di Malaysia. Kami mahu memberi jaminan kepada peminat Kia bahawa jenama ini akan terus komited dengan fokus kepada penjagaan pelanggan dan penyediaan solusi mobiliti yang inovatif,” katanya dalam kenyataan.

Berkuat kuasa 1 Januari 2026, rangkaian Kia Sportage dan Kia Carnival ditawarkan pada harga yang disemak semula bagi memperkukuh kedudukan kedua-dua model tersebut dalam pasaran tempatan.

Kia Sportage kini ditawarkan pada harga bermula RM128,800, sekali gus meningkatkan daya saingnya dalam segmen SUV.

Dalam usaha mengurangkan kos pemilikan jangka panjang, KSM turut mengumumkan pengurangan harga purata sebanyak 15 peratus bagi semua alat ganti tulen Kia, selain mengekalkan waranti selama lima tahun atau 150,000 kilometer, mengikut mana yang terdahulu, selaras dengan piawaian global jenama itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan KSM, Emily Lek berkata, penetapan harga yang wajar dan telus menjadi teras utama strategi baharu syarikat dalam menjawab persoalan pengguna kenapa mereka perlu memilih Kia. 

“Pelanggan kini boleh menikmati kenderaan yang disesuaikan dengan keperluan pasaran tempatan, lengkap dengan spesifikasi dan ciri yang relevan pada harga yang kompetitif. Kami mengalu-alukan pelanggan untuk mengunjungi bilik pameran bagi merasai pengalaman Kia yang baharu,” katanya.

Bagi memperkukuh sokongan selepas jualan, KSM turut mengoperasikan sebuah gudang alat ganti khusus di Shah Alam, Selangor, bagi memastikan ketersediaan alat ganti yang lebih pantas dan mengurangkan tempoh menunggu perkhidmatan.

Dalam masa sama, KSM memperkenalkan Kia Circle, iaitu program kesetiaan pelanggan yang menawarkan rebat tunai sehingga RM6,000 kepada pemilik sedia ada yang menaik taraf kepada kenderaan Kia baharu. 

Bagi segmen korporat, Kia Professional diperkenalkan untuk menawarkan konsesi eksklusif sehingga tiga peratus kepada badan profesional dan syarikat bagi pembelian kenderaan individu, selain insentif tersuai untuk pembelian fleet berskala besar.

Sebagai pelengkap, KSM turut menampilkan Kia Cares, program insurans berjenama Kia yang dijamin oleh Berjaya Sompo, Zurich dan Zurich Takaful, dengan perlindungan komprehensif termasuk manfaat tambahan seperti perkhidmatan tunda tanpa had, pengecualian kos betterment sehingga 10 tahun serta perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM100,000.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN