PETALING JAYA: Kerjaya Prospek Group Berhad (KPGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd. (KPM), memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM201.25 juta bagi kerja-kerja bangunan di Damansara Damai, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KPGB berkata, KPM telah menerima pakai lantikan daripada Greencove Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Property Berhad (KPPB) pada 15 Januari 2026 untuk kontrak pembinaan tersebut.
Katanya, kontrak berasaskan jumlah tetap itu melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri setinggi 39 tingkat yang merangkumi 780 unit kediaman, ruang rekreasi, lima aras tempat letak kereta podium, serta ruang komersial di aras bawah dan separa bawah.
“Kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 1 April 2026 dan akan disiapkan dalam tempoh 40 bulan.
“Penerimaan kontrak ini adalah selaras dengan perjalanan biasa perniagaan KPM dan ia dijangka menyumbang aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.
KPGB berkata, dari segi kewangan, kontrak tersebut akan mengukuhkan lagi buku pesanan sedia ada KPGB dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2029, tanpa menjejaskan modal saham terbitan.
Tambahnya, kontrak ini diklasifikasikan sebagai Urus Niaga Pihak Berkaitan Berulang dan mandat berkaitan telah diperoleh daripada pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada 11 Jun 2025.
Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif KPGB, Datuk Seri Tee Eng Ho merupakan pengarah kepada beberapa anak syarikat KPPB dan juga pemegang saham utama KPGB dan KPPB melalui kepentingan tersiratnya dalam KPGB dan KPPB melalui syarikat-syarikat yang mana beliau dan isterinya, Datin Seri Toh Siew Chuon serta adiknya, Datuk Tee Eng Seng mempunyai kepentingan langsung dan tersirat.
Siew Chuon dan Eng Seng masing-masing merupakan Pengarah Eksekutif KPGB serta pemegang saham utama KPGB dan KPPB melalui kepentingan tersirat mereka dalam KPGB dan KPPB melalui syarikat-syarikat yang mana kedua-duanya bersama Eng Ho mempunyai kepentingan langsung dan tersirat.
Tambahnya, Siew Chuon juga merupakan Pengerusi Eksekutif, manakala Eng Seng ialah Pengarah Eksekutif KPPB. Ketua Pegawai Eksekutif KPGB, Tee Eng Tiong ialah saudara kepada Eng Ho dan Eng Seng.
Kepentingan tersirat ketiga-tiga mereka dalam KPPB adalah melalui kepentingan langsung dan/atau tersirat mereka yang secara kolektif mewakili 100 peratus pemilikan dalam Javawana Sdn. Bhd.
“Selain pihak-pihak yang dinyatakan, tiada pengarah atau pemegang saham utama lain mempunyai kepentingan dalam kontrak tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










