Kadar pemilikan hartanah bagi golongan M40 lebih rendah

Kadar pemilikan hartanah bagi golongan M40 lebih rendah berbanding B40

JEFFREY Ng Tiong Lip (dua dari kanan) bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook semasa CEO Series 2026 anjuran REHDA Institute di hotel Le Meridien, Petaling Jaya semalam - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebergantungan yang tinggi terhadap subsidi silang mendorong kenaikan harga pasaran, sekali gus menjadikan pemilikan rumah semakin di luar kemampuan rakyat.

Melalui subsidi silang, harga rumah yang dibina untuk pasaran terbuka terpaksa dinaikkan bagi menampung kos pembinaan harga rumah mampu milik yang harganya dikawal kerajaan.

Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip, berkata situasi itu menyebabkan isi rumah dalam kategori B40 berdepan kesukaran ketara untuk menembusi pasaran perumahan.

“Selain itu, kadar pemilikan rumah dalam kalangan M40 kini lebih rendah berbanding B40, iaitu 75.9 peratus berbanding 76.3 peratus, menunjukkan bahawa model sedia ada tidak lagi mampan.

“Angka ini menunjukkan pendekatan semasa sudah tidak sejajar dengan realiti pasaran dan keperluan sebenar rakyat,” katanya dalam ucaptama pada CEO Series 2026 anjuran REHDA Institute di sini, semalam. 

Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran di itu tidak sepatutnya dilihat secara sempit sebagai isu kemampuan memiliki rumah semata-mata.

“Kita perlu melihat ia sebagai persoalan keupayaan pelaksanaan yang mampan serta ketahanan keseluruhan ekosistem.

“Ia merangkumi dasar tanah, struktur pembiayaan, penyediaan infrastruktur dan utiliti, kos pematuhan serta proses kelulusan. 

“Apabila mana-mana pihak dalam ekosistem ini menanggung beban yang tidak seimbang, sistem menjadi rapuh, mengakibatkan kelewatan, tekanan kewangan dan akhirnya projek terbengkalai,” ujarnya. 

Jelasnya, dalam konteks itu, sektor kewangan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif, bukan sahaja sebagai pemberi pinjaman, tetapi sebagai rakan strategik dalam penyampaian. 

“Ini termasuk pembiayaan keutamaan untuk pembeli rumah kali pertama, penetapan risiko lebih fleksibel melalui tempoh pinjaman lebih panjang atau struktur bayaran balik yang responsif kepada pendapatan, serta mekanisme perkongsian risiko yang disasarkan dan disokong oleh insentif dasar. 

“Pada masa sama, penyedia utiliti juga perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian melalui pengaturan perkongsian kos yang lebih saksama bagi penyediaan infrastruktur. 

“Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memainkan peranan yang menentukan, khususnya dengan memperkemas proses kelulusan dan mempercepatkan masa ke pasaran,” katanya. 

Mengulas lanjut,  beliau berkata, industri juga menyaksikan kebangkitan semula yang memberangsangkan bagi program Malaysia My Second Home (MM2H). 

“Selepas penstrukturan semula secara strategik, MM2H telah menunjukkan kejayaan yang luar biasa dengan mencatatkan anggaran jumlah aliran masuk sebanyak RM840 juta setakat Jun 2025, termasuk pelaburan hartanah berjumlah RM237 juta. 

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 84 peratus dalam tempoh hanya enam bulan pertama  2025, sekali gus menarik individu berpendapatan tinggi dan bakat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×