PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, berjaya mengendalikan sehingga 1,800 pergerakan lori sehari sepanjang 2025.
Ini sekali gus mencatatkan tahap trafik darat tertinggi dalam Sejarah Johor Port dengan mengekalkan kelancaran operasi dan kesesakan minimum walaupun berdepan jumlah trafik yang tinggi termasuk pada waktu puncak.
Jumlah keseluruhan pergerakan pengangkut mencecah 639,011 bagi tahun tersebut.
Ia mewakili peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding 2024, sejajar dengan peningkatan jumlah pengendalian kontena kepada rekod 1.08 juta unit setara dua puluh kaki (TEU), yang merupakan pencapaian tertinggi pernah dicatatkan oleh Johor Port.
Aliran trafik yang berterusan, dengan purata sekitar 1,750 lori sehari, telah diurus tanpa gangguan besar, mencerminkan penambahbaikan dalam operasi pintu masuk, penyelarasan bersama pengendali pengangkutan serta kecekapan keseluruhan terminal.
Pengerusi Johor Port, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, keupayaan mengurus jumlah pergerakan lori harian yang tinggi tanpa kesesakan ketara merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan Johor Port serta rekod prestasi pelabuhan ini pada 2025.
“Ia membolehkan kami menyokong peningkatan panggilan kapal, memastikan pelepasan kargo yang lebih pantas dan seterusnya mengukuhkan peranan Johor Port sebagai pintu masuk perdagangan serantau yang boleh dipercayai,” katanya.
Pemerhati industri berpandangan, kesesakan di kawasan darat merupakan cabaran lazim di pelabuhan yang sibuk, khususnya dalam tempoh peningkatan jumlah perdagangan.
Pengalaman Johor Port tahun lalu membuktikan kepentingan penyelarasan yang cekap antara pengendali pelabuhan dan pengangkutan bagi memastikan pergerakan kargo yang lancar.
Sebahagian besar trafik darat disokong oleh pengendali pengangkutan di bawah Association of Malaysian Hauliers (AMH) yang mana ahlinya merangkumi majoriti pergerakan lori yang keluar masuk pelabuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, jumlah pergerakan lori harian yang tinggi secara berterusan mencerminkan keyakinan terhadap operasi Johor Port.
“Mengendalikan hampir 1,800 lori sehari merupakan petunjuk kukuh tahap kepercayaan komuniti logistik terhadap Johor Port. Apa yang penting ialah pergerakan ini berjaya diurus dengan lancar, dengan kesesakan yang minimum, walaupun pada waktu puncak,” katanya.
Prestasi operasi Johor Port disokong oleh pelaburan berterusan dalam peralatan dan infrastruktur, termasuk dua kren dermaga baharu pada September 2025 serta penambahan container reach stackers bagi meningkatkan operasi di kawasan yard dan landasan kereta api.
Pelabuhan ini juga sedang meneruskan meneruskan kerja menaik taraf, termasuk pemulihan kawasan yard kontena serta pengembangan kemudahan reefer, bagi menyokong pertumbuhan pada masa hadapan.
Seterusnya, Johor Port sedang bersiap sedia untuk melaksanakan sistem pintu masuk dan jambatan timbang automatik menjelang akhir 2026, dengan matlamat mengurangkan masa pemprosesan lori dan memperbaiki aliran trafik selaras dengan peningkatan jumlah pergerakan.
Johor Port menjangkakan kecekapan kawasan darat akan terus menjadi fokus utama selaras dengan peranan pelabuhan dalam menyokong aktiviti perdagangan yang meningkat, terutamanya susulan pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). – UTUSAN










