PETALING JAYA: IOI Properties Group (IOIPG) terus mengembangkan perbandaran 16 Sierra seluas 216.5 hektar di Puchong South melalui pelbagai inisiatif reka bentuk ruang yang selamat dan mesra komuniti.
Kawasan kediaman di atas tanah tinggi dengan taman bertema yang menghijau dan saling menghubungkan komuniti, kini sedang melalui transformasi menjadi sebuah kawasan perlindungan bertaraf premium dengan penambahan kemudahan gaya hidup yang unik.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan Hartanah (Malaysia), Teh Chin Guan berkata, dalam tempoh 16 tahun, pihaknya telah mengubah kawasan tanah yang sebelum ini digunakan untuk pertanian kepada sebuah kawasan kediaman yang pesat membangun dengan anggaran populasi seramai 12,000 orang dan terus meningkat.
“Pertumbuhan progresif 16 Sierra sepanjang tahun-tahun ini amat memberangsangkan, dengan perbandaran ini dijangka menerima tambahan kira-kira 2,500 penduduk menjelang 2027 selepas siapnya tiga projek utama dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, inisiatif ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada para penduduk serta komuniti Lembah Klang secara keseluruhan terutama pengalaman glamping mewah, ‘Tribe Glamping’ terletak di dalam Amigo Clubhouse dan menawarkan pengalaman glamping mewah di tengah bandar.
“Ia merupakan destinasi rekreasi ideal untuk rakan dan keluarga menikmati suasana luar sambil mendapat akses kepada kemudahan kelab bertaraf tinggi di Amigo Clubhouse seperti kolam renang, taman permainan dengan trampolin, gimnasium dan studio yoga, pawagam terbuka, serta gelanggang badminton dan ping pong.
“Selain itu, dengan kerjasama Big Tiny Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, sebuah syarikat eko-pelancongan dan hospitaliti, Amigo Clubhouse dengan bangganya memperkenalkan pengalaman Tiny House pertama di Malaysia.
“Tiny House yang mesra alam ini direka secara mampan dengan panel solar, sistem penuaian air hujan dan tandas kompos, selain menawarkan pengalaman percutian luar yang selesa dengan kemudahan moden,” katanya.
Selain itu, 16 Sierra Lookout Point (menara tinjau) dibina untuk pemandangan indah dan memukau dari lokasi puncak bukit ini yang terletak di dalam perbandaran.
Berdasarkan pelancaran strategik pembangunan berorientasikan transit (TOD) pertama perbandaran ini iaitu COVO dengan 601 unit pangsapuri perkhidmatan pada 2024, Aster dengan 121 unit rumah teres dua tingkat; serta Oakleaf dengan 272 unit rumah bandar tiga tingkat.
16 Sierra, Puchong South kekal sebagai sebuah perbandaran yang dirancang secara holistik, diintegrasikan dengan kehijauan semula jadi, menawarkan nadi komersial yang bertenaga, kelab komuniti khusus, serta sambungan terus melalui stesen MRT 16 Sierra yang harmoni dengan alam sekitar.
Sementara itu, Ketua Unit Perniagaan 16 Sierra, Kota Warisan dan Salak Tinggi, Calvin Sew berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan Burwood yang telah mencapai kadar pengambilan melebihi 65 peratus, sekali gus mencerminkan permintaan pasaran yang menggalakkan bagi rumah bertanah yang dirancang dengan baik di kawasan Puchong South.
“Pelancaran baharu ini membawa Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM208 juta, dan sesuai untuk pembeli yang ingin menaik taraf kepada kediaman yang lebih luas dalam perbandaran yang menitikberatkan kemampanan, kebolehdiaman dan kebolehlaluan pejalan kaki,” katanya.
Burwood yang meliputi kawasan seluas 4.7 hektar menawarkan 102 unit Vila taman dua tingkat yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan gaya hidup moden secara harmoni.
Fasa ini menampilkan dua koleksi berbeza kayu The Collections (92 unit Vila Berkembar Kluster, 32’ x 75’) dan The Edition (10 unit Vila Berkembar, 38’ x 120’).
Sierra Fresco pula menampilkan konsep tempat makan bergaya al fresco sebagai nadi komersial komuniti, telah dilancarkan pada September 2023 dengan gabungan penyewa yang menarik termasuk Village Grocer, The Coffee Bean & Tea Leaf, CU Mart, Anytime Fitness, Subway dan A&W.-UTUSAN










