Inisiatif kerajaan menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif - Utusan Malaysia

Inisiatif kerajaan menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan pendekatan pragmatik dalam memastikan kesinambungan perniagaan, meningkatkan produktiviti serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, penerimaan Anwar terhadap cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) secara langsung menangani cabaran struktur dan operasi yang dihadapi oleh perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, pengumuman tersebut merupakan satu intervensi ekonomi yang bersasar, bertujuan memperkukuh kecairan PMKS, mengurangkan tekanan kos, meningkatkan kecekapan pematuhan serta mengukuhkan daya tahan jangka panjang ekosistem perniagaan MSME domestik.

“Lebih 60 peratus daripada ahli MEF terdiri daripada PMKS. Langkah-langkah seperti pembiayaan tambahan kepada PMKS, bayaran balik cukai, pengecualian dan pengurangan cukai perkhidmatan serta penangguhan penalti bagi e-Invois Fasa 4, akan memberikan kelegaan aliran tunai serta-merta.

“Sementara itu, ia membolehkan perniagaan mengagihkan semula sumber kepada operasi, pengekalan tenaga kerja dan pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan.

Syed Hussain menyatakan sokongan penuh terhadap rangkaian inisiatif yang diumumkan oleh Anwar, hasil daripada cadangan KUSKOP di bawah kepimpinan Steven Sim Chee Keong kerana memajukan satu kerangka dasar bagi memperkasa PMKS.

Beliau berkata, MEF juga mengalu-alukan langkah fiskal dan kawal selia yang mengurangkan kos pematuhan serta meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, termasuk kenaikan ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan dan sewaan, Program Pendedahan Sukarela Duti Setem serta pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor terpilih termasuk pembinaan dan input berkaitan pertanian.

“Dari perspektif dasar ekonomi, langkah-langkah ini membantu menstabilkan PMKS dalam tempoh pelarasan kos dan peralihan kawal selia, di samping mengukuhkan pematuhan sukarela dan pemformalan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, MEF turut menyokong inisiatif yang memperkukuh akses pasaran dan permintaan domestik, termasuk penyertaan 10,000 peniaga kecil ke dalam ekosistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelaksanaan segera peruntukan tambahan bagi projek-projek kecil yang dilaksanakan oleh kontraktor SMSE yang diklasifikasikan di bawah G1 hingga G4.

“Memastikan PMKS diintegrasikan dengan lebih baik ke dalam rantaian bekalan nasional dan perolehan sektor awam adalah penting untuk pertumbuhan menyeluruh dan penciptaan peluang pekerjaan,” ujarnya.

Beliau berkata, MEF juga mengalu-alukan penekanan berterusan kerajaan terhadap reformasi birokrasi, pendigitalan dan penyampaian perkhidmatan tanpa kertas, yang selaras dengan tuntutan para majikan bagi peningkatan produktiviti dan kecekapan pentadbiran.

“MEF bersedia untuk terus bekerjasama secara konstruktif dengan KUSKOP dan agensi berkaitan bagi menyokong pelaksanaan yang berkesan, menyalurkan maklum balas majikan serta memastikan inisiatif ini memberikan hasil yang nyata kepada PMKS di peringkat akar umbi,” jelasnya.

MEF menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem PMKS, melindungi peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing ekonomi keseluruhan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN