PETALING JAYA: Inisiatif-inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dijangka memberi impak positif dan meningkatkan sentimen pasaran.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ini berpotensi mendorong peningkatan penggunaan kerana wujud kemungkinan lebih banyak wang boleh digunakan oleh rakyat.
Katanya, pelaksanaan tempoh peralihan e-invois tanpa penalti juga dijangka membantu peniaga kecil untuk beralih pada system itu dan memudahkan pengurusan rekod dan aliran tunai mereka.
“Namun, dari segi fiskal, cukai perkhidmatan ke atas sewaan yang dikurangkan ke enam peratus boleh mengurangkan pendapatan kerajaan, menyebabkan sasaran defisit sukar dicapai.
“Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan langkah-langkah alternatif untuk mengurangkan defisit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan dana endowmen dengan mengambil sumber daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Bhd., Ekuinas dan sebagainya.
Jelasnya, dana ini kemudian diuruskan secara profesional dan hasil daripada pendapatan wakaf ini boleh digunakan untuk menggantikan subsidi.
“Contohnya, di Norway menggunakan Dana Minyak untuk membiayai kira-kira 30 peratus belanjawan tahunan mereka. Dana seperti ini menggantikan perbelanjaan yang sebelum ini ditampung melalui subsidi supaya tidak perlu dimasukkan dalam belanjawan tahunan negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengesa kerajaan menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah golongan B40 serta graduan yang bekerja dalam bidang tidak sesuai dan mendapat gaji lebih rendah.
Sementara itu, Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang dalam nota penyelidikan berkata, penyampaian empat rang undang-undang reformasi institusi pada persidangan Parlimen Januari akan datang dijangka membantu menangani kelemahan tadbir urus dan menyokong sentimen pasaran secara keseluruhan.
Katanya, langkah-langkah pengecualian cukai dan pemudahan pematuhan untuk PKS dan perniagaan dijangka membantu mengurangkan kos operasi.
“Sebagai contoh, pengurangan cukai perkhidmatan ke atas sewaan daripada lapan peratus kepada enam peratus bagi PKS sedikit positif untuk amanah pelaburan hartanah (REIT) kerana ia menurunkan beban cukai berkesan ke atas pendapatan sewaan.
“Sementara itu, bantuan kos sara hidup yang disasarkan secara berterusan dijangka menyokong perbelanjaan pengguna, manakala kemungkinan pelonggaran syarat import untuk bahan binaan bagi mengekalkan kos adalah negatif untuk pengeluar bahan binaan tetapi positif untuk pemain sektor pembinaan, memandangkan potensi sokongan margin.
“Secara keseluruhan, kami bersikap positif terhadap langkah-langkah utama yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Tahun Baru 2026,” ujarnya.
Oleh demikian, beliau berkata, CIMB Securities mengekalkan pandangan positif terhadap FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk 2026, dengan sasaran hujung tahun 2026 pada 1,772 mata. – UTUSAN










