Indeks Harga Pengeluar Malaysia susut 2.7 peratus pada Disember

Indeks Harga Pengeluar Malaysia susut 2.7 peratus pada Disember

PEKERJA industri pembuatan sedang melakukan kerja-kerja pemasangan mesin.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia terus mencatatkan penyusutan, apabila turun 2.7 peratus pada Disember 2025, berbanding penurunan 1.8 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan itu didorong terutamanya oleh kemerosotan ketara dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan yang susut 12.1 peratus berbanding penurunan 9.7 peratus pada November 2025.

“Penyusutan ini terutamanya disebabkan oleh penurunan dua digit sebanyak 19.6 peratus dalam indeks penanaman tanaman kekal.

“Sektor perlombongan turut merekodkan penurunan lebih besar sebanyak 8.8 peratus berbanding susut 7.2 peratus pada bulan sebelumnya, dipengaruhi oleh kejatuhan dalam indeks pengekstrakan gas asli (11.5 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (7.8 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sektor pembuatan juga menguncup 1.3 peratus berbanding penurunan 0.6 peratus pada November 2025, disebabkan oleh kemerosotan 6.2 peratus dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

Sebaliknya, sektor bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing mencatatkan peningkatan 4.1 peratus dan 10.9 peratus pada Disember 2025.

Mengulas prestasi bulanan, Mohd. Uzir berkata, IHPR Pengeluaran Tempatan menurun 0.2 peratus pada Disember 2025 berbanding penurunan 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.

“Sektor perlombongan menyusut 2.0 peratus berbanding 0.8 peratus pada November 2025, dipengaruhi oleh penurunan indeks pengekstrakan gas asli sebanyak 2.4 peratus dan petroleum mentah sebanyak 1.9 peratus.

“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga mencatatkan penurunan 1.1 peratus berbanding susut 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh penurunan dalam penanaman tanaman kekal sebanyak 2.0 peratus,” katanya.

Tambah beliau, sektor pembuatan pula meningkat perlahan 0.1 peratus, disokong oleh peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (0.7 peratus) serta pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (0.2 peratus).

“Bagi sektor utiliti, bekalan air meningkat 0.4 peratus manakala bekalan elektrik dan gas menurun 0.2 peratus pada Disember 2025,” tambahnya. 

Mohd. Uzir berkata, semua peringkat pemprosesan IHPR Pengeluaran Tempatan mencatatkan perubahan tahunan negatif pada Disember 2025.

“Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun 8.3 peratus berbanding penurunan 6.2 peratus pada November 2025, terutamanya disebabkan oleh kemerosotan bahan bukan makanan sebanyak 11.0 peratus.

“Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen susut 1.6 peratus berbanding penurunan 1.1 peratus pada bulan sebelumnya, manakala indeks barang siap menurun 0.7 peratus, dipengaruhi oleh kejatuhan dalam kelengkapan modal,” katanya.

Pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun 0.8 peratus, manakala indeks barang siap menyusut 0.2 peratus dan indeks bahan perantaraan, bekalan serta komponen kekal tidak berubah.

Dari segi prestasi suku tahunan, IHPR Pengeluaran Tempatan menurun 1.5 peratus pada suku keempat 2025 berbanding penurunan 2.4 peratus pada suku ketiga 2025, dipacu oleh sektor pertanian, perlombongan dan pembuatan.

Secara keseluruhan, IHPR Pengeluaran Tempatan merekodkan penurunan 2.0 peratus bagi tahun 2025 selepas meningkat 0.3 peratus pada 2024, terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam sektor perlombongan (8.2 peratus) dan pembuatan (2.1 peratus).

Perbandingan antarabangsa menunjukkan trend bercampur dalam harga pengeluar pada Disember 2025. IHPR Jepun meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun, manakala China kekal dalam deflasi pengeluar dengan penurunan 1.9 peratus, mencatatkan bulan ke-39 berturut-turut penurunan.

IHPR Thailand turut menyusut 1.8 peratus, menandakan sepuluh bulan berturut-turut inflasi pengeluar tahunan negatif, sejajar dengan trend di Malaysia.

Mengulas harga komoditi, Mohd. Uzir berkata, purata harga minyak mentah Brent menurun kepada AS$62.72 setong pada Disember 2025 berbanding AS$63.61 setong pada bulan sebelumnya, berikutan lebihan bekalan global dan permintaan yang lebih perlahan.

“Harga tandan buah segar dan minyak sawit mentah Malaysia turut lebih rendah. Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan purata harga minyak sawit mentah susut kepada RM4,042.50 satu tan berbanding RM4,089.50 satu tan pada November 2025, disebabkan peningkatan inventori minyak sawit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN