PETALING JAYA: Hock Soon Capital Berhad (Hock Soon) menandatangani perjanjian penajaan jamin dengan M & A Securities Sdn. Bhd. (M & A Securities) bagi penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Februari ini.
Tawaran awam permulaan (IPO) itu membabitkan terbitan awam sebanyak 100 juta saham baharu dan tawaran jualan 50 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 20 peratus dan 10 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan Hock Soon.
Pengarah Eksekutif Hock Soon, Alex Ong Keat Hoe berkata, pelaksanaan IPO ini hadir pada masa yang sesuai bagi menyokong rancangan pertumbuhan dan pengembangan syarikat, termasuk pembinaan ladang ayam baharu di Teluk Intan, Perak.
“Kami merancang untuk membina 25 reban ayam secara berperingkat di ladang baharu itu, sejajar dengan keadaan pasaran dan pertumbuhan pelanggan.
“Apabila beroperasi kelak, ladang ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran telur serta menyokong pertumbuhan perniagaan dan kewangan syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah perjanjian penajaan jamin berkenaan, M & A Securities akan menaja jamin keseluruhan 37.5 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui proses pengundian serta kepada pengarah dan kakitangan Hock Soon dan anak syarikatnya.
Ia termasuk individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan menerusi peruntukan Borang Merah Jambu.
Baki 62.5 juta saham terbitan akan diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Bagi tawaran jualan pula, kesemua 50 juta saham sedia ada diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih..
Hock Soon terlibat terutamanya dalam penternakan ayam, khusus dalam pembiakan ayam penelur bagi pengeluaran dan penjualan telur meja kepada pengeluar makanan serta pasaran borong dan runcit.
Syarikat itu menjual telur biasa tanpa jenama, di bawah jenama sendiri Qplus atau di bawah jenama pelanggan, manakala telur premium dipasarkan di bawah jenama Qplus.
Sehingga 28 Februari 2025, Hock Soon mengendalikan sebuah ladang ayam di Bidor, Perak yang merangkumi 26 reban tertutup untuk ayam penelur matang dan tujuh reban tertutup bagi anak ayam dara, dengan kapasiti masing-masing sebanyak 1.74 juta ayam penelur matang dan 486,912 anak ayam dara.
Ladang itu mempunyai kapasiti pengeluaran semasa kira-kira 1.48 juta biji telur sehari.
Dari segi kewangan, Hock Soon mencatat pertumbuhan prestasi yang kukuh bagi tempoh tahun kewangan berakhir 30 September 2022 hingga 2024, dipacu terutamanya oleh peningkatan jualan telur meja.
Keuntungan bersih syarikat melonjak 181 peratus kepada RM40.7 juta pada tahun kewangan 2024 berbanding RM14.5 juta pada tahun kewangan 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun dua tahun kira-kira 67.5 peratus.
Syarikat turut mengekalkan purata margin keuntungan bersih tiga tahun sebanyak 20.4 peratus.
Dalam tempoh sama, hasil meningkat 12.8 peratus kepada RM151.4 juta pada tahun kewangan 2024 daripada RM134.2 juta pada tahun kewangan 2022.
Prestasi operasi yang konsisten itu diterjemahkan melalui purata margin keuntungan kasar tiga tahun sebanyak 28.1 peratus.
M & A Securities bertindak sebagai Penasihat, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan. – UTUSAN










