HLCB kekal ungguli ESG, raih penarafan 4 bintang FTSE4Good

HLCB kekal ungguli ESG, raih penarafan 4 bintang FTSE4Good

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Capital Berhad (HLCB) mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju amalan kelestarian apabila memperoleh penarafan empat bintang di bawah Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM), iaitu tahap tertinggi dalam Skor ESG FTSE Russell.

Pencapaian itu meletakkan HLCB mengatasi purata industri kewangan serta purata subsektor perkhidmatan pelaburan.
Pada masa sama, penarafan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kumpulan di bawah rangka kerja FTSE Russell ESG Ratings meningkat kepada 4.3 bagi tahun kewangan 2025, berbanding 2.9 pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Investment Bank (HLIB), Lee Jim Leng berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen konsisten HLCB terhadap amalan perniagaan mampan dan tadbir urus berdaya tahan.

“Pencapaian status ESG empat bintang ini menempatkan HLCB dalam kelompok tujuh peratus terbaik dunia dalam Supersektor Perkhidmatan Kewangan berdasarkan penilaian Industry Classification Benchmark oleh FTSE Russell.

“Ia turut disokong oleh pertumbuhan pembiayaan mampan yang semakin kukuh merentasi perniagaan perbankan pelaburan dan pengurusan aset kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sejak 2024, perniagaan perbankan pelaburan HLCB secara kumulatif telah menasihati hampir RM3 bilion penerbitan bon hijau, manakala aset di bawah pengurusan (AUM) dana ekuiti dan pendapatan tetap bersepadu ESG bagi bahagian pengurusan aset mencecah RM3.6 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, HLCB turut mencatat sejarah sebagai kumpulan perbankan pelaburan Malaysia pertama menyertai Partnership for Carbon Accounting Financials (PCAF), iaitu piawaian global bagi mengukur pelepasan karbon berkaitan pembiayaan.

Sementara itu, HLCB memaklumkan pihaknya berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 27 peratus merangkumi operasi sendiri bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencapai sasaran jangka pendek lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

“Selaras dengan aspirasi pelepasan sifar bersih negara, HLCB menyasarkan untuk mencapai Net Zero bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 menjelang tahun kewangan 2030, serta Net Zero Skop 3 menjelang tahun kewangan 2050.

“Dalam usaha memperkukuh integrasi kelestarian, HLCB turut memperkenalkan produk inovatif seperti ESG Share Margin Financing (ESG SMF) yang dilancarkan pada Mac 2025.

“Portfolio ESG SMF itu mencatat peningkatan kumulatif bulanan sebanyak 225 peratus, mencerminkan permintaan tinggi terhadap produk kewangan berteraskan kelestarian,” katanya.

Sejak disenaraikan dalam siri FTSE4Good pada Disember 2022, skor tonggak Alam Sekitar HLCB melonjak daripada 1.0 kepada 4.0 daripada maksimum 5.0, mencerminkan peningkatan ketara dalam usaha pengurusan alam sekitar kumpulan.

Tambahnya, perjalanan ESG syarikat bermula sejak 2017 melalui penerbitan Penyata Kelestarian sulung, yang menjadi asas kepada komitmen jangka panjang kumpulan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN