Harga minyak sawit mentah dijangka RM4,000 hingga RM4,300 satu tan - Utusan Malaysia

Harga minyak sawit mentah dijangka RM4,000 hingga RM4,300 satu tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka bergerak dalam julat RM4,000 hingga RM4,300 satu tan pada Februari, disokong oleh penurunan bekalan bermusim serta penyusutan paras stok, meskipun berdepan beberapa cabaran asas pasaran.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), harga MSM kekal stabil melepasi paras RM4,000 sepanjang Januari, sekali gus membentuk paras lantai jangka pendek dengan risiko penurunan yang terhad. 

“Ketidaktentuan dasar biodiesel Indonesia juga dilihat semakin reda susulan penjelasan bahawa pelaksanaan program biodiesel B50 ditangguhkan berikutan hubungan harga semasa antara minyak sawit dan gas oil.

“Dengan naratif B50 buat sementara waktu diketepikan, tumpuan pasaran kini kembali kepada faktor asas utama iaitu tahap pengeluaran, prestasi eksport dan paras stok,” katanya. 

Mengulas lanjut, MPOC berkata, permintaan import global bagi minyak sawit dijangka mengukuh pada suku pertama 2026 dan berpotensi mengatasi minyak kacang soya. 

“Di Argentina, harga minyak kacang soya mencatat paras tertinggi dalam tempoh dua tahun pada Januari dan diniagakan pada premium AS$140 satu tan berbanding Minyak Sawit Terproses (RBD) Malaysia. 

“Keadaan sama turut berlaku di India apabila minyak kacang soya diniagakan pada premium AS$84 satu tan berbanding minyak sawit. Walaupun minyak sawit mempunyai kelebihan dari segi harga, permintaan import India masih belum pulih sepenuhnya, sebahagiannya disebabkan oleh penyusutan nilai rupee India berbanding ringgit. 

“Namun, kelemahan ini dijangka bersifat sementara memandangkan India kekal bergantung kepada import minyak sawit berikutan daya saing kos yang lebih baik,” katanya. 

Selain itu, keputusan Indonesia menaikkan levi eksport CPO kepada 12.5 peratus bermula 1 Mac 2026 dijangka memberi kelebihan kepada Malaysia untuk meningkatkan bahagian pasaran di India, sekali gus menyumbang kepada pengurangan stok minyak sawit domestik.

“Faktor bermusim turut menyokong harga apabila bulan Februari yang lebih singkat, ditambah dengan beberapa cuti umum seperti Thaipusam, Tahun Baharu Cina serta bulan Ramadan, dijangka menjejaskan produktiviti penuaian dan mengehadkan bekalan jangka pendek,” katanya. 

Pada masa sama, sentimen positif turut wujud terhadap peningkatan penggunaan domestik minyak kacang soya di Amerika Syarikat, disokong oleh jangkaan kejelasan dasar biofuel 45Z dan Keperluan Jumlah Boleh Diperbaharui (RVO) pada awal Mac. 

Perkembangan ini dijangka membantu menyerap lebihan minyak kacang soya domestik serta menyokong aktiviti penghancuran menjelang musim tuaian besar kacang soya Brazil antara Mac hingga Mei 2026.

Pengeluaran kacang soya Brazil bagi 2026 diunjurkan melebihi 180 juta tan, meningkat daripada anggaran 178 juta tan pada akhir 2025, disokong oleh keadaan cuaca yang menggalakkan.

Tambahnya, harga minyak sawit dijangka kekal dalam julat semasa pada Februari, manakala kenaikan harga yang lebih mampan memerlukan sama ada pelaksanaan berperingkat mandat biodiesel B45 Indonesia, pemulihan harga minyak mentah global atau kejelasan dasar biofuel Amerika Syarikat yang mampu meningkatkan permintaan minyak kacang soya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN