PETALING JAYA: Glomac Berhad (Glomac) menerusi anak syarikatnya, Glomac Al-Batha Sdn. Bhd. menandatangani dua perjanjian jual beli (SPA) dengan Sunway Kiara Sdn. Bhd. bagi pelupusan dua lot tanah pajakan kosong bernilai RM97.3 juta di Puchong, Selangor.
Lot pertama, dikenali sebagai Plot 3, mempunyai keluasan kira-kira 13,848 meter persegi dengan nilai buku bersih (NBV) sebanyak RM39.5 juta di PT 3977, Jalan Perindustrian Puchong, Bandar Metro Puchong.
Lot kedua pula adalah Plot 4, seluas kira-kira 13,549 meter persegi dengan NBV RM38.6 juta di PT 3978, kawasan yang sama.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Glomac berkata, keseluruhan pelupusan ini bernilai RM97.3 juta dan akan dibayar sepenuhnya secara tunai oleh pihak pembeli.
Ujarnya, jumlah pelupusan ditentukan berdasarkan prinsip persetujuan pembeli dan penjual, mengambil kira penilaian pasaran hartanah yang dilakukan oleh penilai bebas, Rahim & Co International Sdn Bhd pada 29 Disember 2025.
“Penilaian pasaran hartanah tersebut menetapkan nilai hartanah sebanyak RM99.97 juta, bersamaan kira-kira RM339 per kaki persegi, menggunakan kaedah perbandingan.
“Laporan penilaian ini disediakan untuk kegunaan dalaman pengurusan dan bukan untuk pengumuman awam.
“Lembaga pengarah juga mengambil kira potensi pembangunan yang dipertingkatkan bagi hartanah tersebut yang merupakan sebahagian daripada perintah pembangunan induk yang diluluskan, dengan plot berkenaan diperuntukkan untuk pembangunan apartmen servis.
“Jumlah pertimbangan pelupusan kira-kira RM330 per kaki persegi dianggap wajar berbanding dengan nilai buku hartanah pada 30 April 2025 sebanyak RM265 per kaki persegi,” katanya.
Glomac berkata, pelupusan ini selaras dengan strategi syarikat untuk memaksimumkan nilai aset dan memperkukuh aliran tunai kumpulan.
Tambahnya, lembaga pengarah menjangkakan pelupusan yang dicadangkan akan dimuktamadkan menjelang suku ketiga 2026 untuk Plot 3 dan suku ketiga 2027 untuk Plot 4, kecuali jika terdapat sebarang keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada penyiapan SPA.
Lot tanah tersebut pada asalnya diambil alih oleh Glomac Alliance Sdn. Bhd. (Glomac Alliance), anak syarikat milik penuh Glomac pada 21 Januari 2011 dan seterusnya diambil alih oleh Glomac Al Batha dengan harga RM64.90 juta pada 22 November 2019. – UTUSAN










