KUALA LUMPUR: Guan Huat Seng Holdings Berhad (GHS), pemain industri makanan laut kering dan marin dengan pengalaman lebih 46 tahun, memperkukuh strategi pengembangan perniagaan halalnya bagi menembusi pasaran antarabangsa, khususnya Asia Barat, Eropah dan China.
Pengarah Urusan GHS, Yeo Tien Ee berkata, selain terlibat dalam perniagaan makanan laut kering, marin dan sejuk beku, kumpulan itu turut memiliki kemudahan pembuatan produk halal bagi pasaran eksport merangkumi pes cili, perasa serta produk pek mudah guna.
“Kami mengeksport ke 16 negara secara keseluruhan dan pelanggan utama kami terdiri daripada operator perkhidmatan makanan, peruncit serta pengilang.
“Antara pasaran utama termasuk Hong Kong, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Filipina, Korea dan China,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Menurut beliau, pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pengeluaran pes, sos dan serbuk perasa menjadi antara kelebihan strategik kumpulan dalam memperluaskan capaian pasaran global.
Ujarnya, ia mendapat permintaan tinggi bagi produk makanan halal khususnya bagi negara Asia Barat.
“Kami akan memberi tumpuan lebih agresif kepada pasaran Asia Barat dan akan menyertai pameran perdagangan antarabangsa seperti Gulfood. Selain itu, kami melihat potensi besar di China berikutan peningkatan permintaan produk halal,” katanya.
Dari segi kedudukan pasaran, GHS masih mempunyai ruang pertumbuhan yang luas di Malaysia dengan bahagian pasaran kurang daripada satu peratus, manakala di Hong Kong, kumpulan itu menguasai sekitar 3.5 hingga 4 peratus berdasarkan tahun kewangan 2023.
Selain itu, operasi pembuatan perisa dalaman kumpulan turut mempunyai pensijilan Titik Kawalan Kritikal Analisis Bahaya (HACCP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Yeo Tian Seng berkata, pembangunan produk baharu halal yang bersifat sedia untuk dimasak dan sedia untuk dihidang akan menjadi tumpuan bagi menarik generasi muda yang mengutamakan kemudahan serta penjimatan masa.
“Produk makanan laut tradisional biasanya memerlukan masa pemprosesan yang lama. Dengan konsep baharu ini, pengguna hanya perlu nyahbeku dan panaskan, selari dengan gaya hidup moden.
“GHS kini berada di landasan untuk memanfaatkan pensijilan halal sebagai pemangkin pertumbuhan mampan, selari dengan peningkatan permintaan global terhadap produk makanan halal berkualiti dan diyakini,” katanya. – UTUSAN










