PETALING JAYA: Dana asing dijangka kembali ke pasaran ekuiti Malaysia tahun ini apabila dasar tarif Amerika Syarikat (AS) mula memberi kesan kepada ekonomi terbesar dunia, menurut Rakuten Trade Sdn. Bhd. (Rakuten).
Ketua Penyelidikannya, Kenny Yee Shen Pin berkata, dasar itu dilihat memberi kesan sebaliknya daripada yang dijangka susulan pasaran pekerjaan AS yang semakin perlahan dan pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu.
“Pemotongan kadar faedah AS untuk menangani perlambatan ekonomi mungkin mendorong aliran dana ke Malaysia dan ekonomi lain.
“Kami percaya pasaran Asia Tenggara mungkin menjadi tumpuan apabila aliran dana melimpah ke rantau ini daripada China dan Hong Kong.
“Bagaimanapun, Malaysia lebih stabil dari segi politik dan kewangan berbanding rakan serantau lain,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media secara maya Rakuten mengenai unjuran pasaran suku pertama.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap dapat melihat pegangan saham asing di Bursa Malaysia dapat meningkat kepada julat 25 hingga 30 peratus, sekali gus menandakan keyakinan baharu terhadap pasaran Malaysia.
Menurutnya, pegangan asing ketika ini kekal stabil pada sekitar 19 peratus walaupun berlaku aliran keluar bersih yang besar baru-baru ini.
“Sehubungan itu, kita boleh menegaskan bahawa lebih ramai pelabur asing jangka panjang telah kembali, manakala majoriti penjual adalah ‘pelancong sehari’.
“Sepanjang dekad lalu, dana asing cenderung menjauhi pasaran Malaysia, menyebabkan pegangan mereka merosot daripada kira-kira 25 peratus kepada kurang daripada 20 peratus.
“Pada masa hadapan, saya berharap untuk melihat pegangan saham asing meningkat melebihi 25 peratus, berpotensi mencapai 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata, ini akan menjadi isyarat kukuh mengenai keyakinan terhadap pasaran Malaysia dan ia akan membantu meningkatkan permodalan pasaran keseluruhan dari semasa ke semasa.
Menurut Rakuten Trade, pegangan saham asing dianggarkan pada 19.24 peratus pada Januari 2025 dan bergerak sedikit dalam bulan-bulan berikutnya.
Ia bergerak pada 19.17 peratus pada Februari, Mac (19.40 peratus), namun menurun kepada 19.15 peratus pada April sebelum meningkat kepada 19.89 peratus pada Mei dan Jun (19.30 peratus).
Bulan-bulan berikutnya pula mencatat perubahan marginal, termasuk paras 20.60 peratus pada September sebelum menurun semula kepada 19.05 peratus pada November. – UTUSAN










