Bursa Malaysia berpotensi cecah paras 1,800 mata - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia berpotensi cecah paras 1,800 mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia berpotensi menembusi paras 1,800 mata dalam tempoh terdekat didorong minat pengurus dana global terhadap ekuiti tempatan susulan penilaian semula asas makroekonomi dan hala tuju dasar negara.

Semalam, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) melonjak 24.08 mata atau 1.40 peratus kepada 1,744.07 mata di akhir dagangan.

Pada penutupan dagangan, sebanyak 591 kaunter mencatatkan kenaikan, 631 susut dan 498 tidak berubah, dengan jumlah dagangan sebanyak 3.50 bilion saham. 

Setakat tahun ini, FBMKLCI merekodkan pulangan 3.81 peratus.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, potensi kenaikan masih wujud sehingga hujung Januari, namun pergerakan dijangka lebih sederhana. 

“Paras yang dicapai ketika ini mencerminkan sentimen positif dan sokong aliran dana asing, namun pasaran memerlukan pemangkin tambahan yang lebih kukuh untuk menembusi paras 1,800 mata dalam tempoh terdekat. 

“Menjelang hujung Januari, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,730 hingga 1,780 mata, dengan aktiviti pengambilan untung berkemungkinan berlaku selepas lonjakan mendadak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, tumpuan pelabur juga akan kekal kepada perkembangan global, khususnya dasar perdagangan AS serta hala tuju dasar monetari utama yang mempengaruhi sentimen pasaran serantau.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, kenaikan itu bersifat menyeluruh apabila indeks FBMKLCI, FBM70 dan FBM Small Cap masing-masing ditutup dalam wilayah positif.

Menurutnya, prestasi Bursa Malaysia menyerlah berbanding pasaran serantau yang diniagakan tidak menentu berikutan kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan global.

“Kebanyakan pasaran Asia Pasifik ditutup mendatar atau rendah, namun Malaysia muncul sebagai pasaran yang mengatasi rakan serantau, sekali gus menunjukkan pemacu khusus negara dan bukannya dipengaruhi sentimen ‘risk-on’ serantau.

“Sentimen pasaran Asia turut dipengaruhi oleh kenyataan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, yang menyatakan negaranya tidak berhasrat meneruskan perjanjian perdagangan bebas dengan China, susulan amaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai kemungkinan pengenaan tarif sehingga 100 peratus,” katanya.

Mengulas aliran dana, Mohd. Sedek berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih dalam 11 daripada 16 hari dagangan sepanjang Januari 2026, sekali gus memberi isyarat perubahan daripada penempatan jangka pendek kepada pengumpulan portfolio yang lebih mampan.

“Kepimpinan saham perbankan adalah signifikan dari sudut ekonomi kerana sektor ini sering menjadi proksi kepada jangkaan pertumbuhan domestik, keadaan kredit serta kesihatan kunci kira-kira,” ujarnya.

Tambah beliau, perkembangan pasaran ekuiti ketika ini selari dengan pengukuhan ringgit sebelum ini, mencerminkan urutan yang berbeza berbanding episod spekulatif.

“Rali ekuiti kali ini tidak berlaku secara terasing. Ia dipacu oleh pengukuhan mata wang terlebih dahulu, menunjukkan pelabur sedang menilai semula premium risiko Malaysia dan membuat pelarasan kedudukan berdasarkan asas ekonomi yang lebih kukuh,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN