PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan terurus (MSP) terkemuka, Bridgenet Solutions Sdn. Bhd. membuka pejabat baharu di Johor sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat dalam menyokong perusahaan di rantau ini.
Johor terus muncul sebagai hab utama bagi perdagangan rentas sempadan, pembuatan dan perkhidmatan digital yang didorong oleh peningkatan aktiviti pelaburan serta kedudukan strategik yang berhampiran dengan Singapura.
Dengan pasukan khusus yang beroperasi di Johor, Bridgenet mampu menyampaikan masa tindak balas yang lebih pantas, penglibatan tempatan yang lebih mendalam serta sokongan yang lebih dipercayai kepada pelanggan di seluruh negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Keane Leong berkata, Johor memainkan peranan yang semakin penting dalam landskap digital dan perindustrian negara.
“Kehadiran fizikal di negeri ini membolehkan kami mengeratkan kerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsi, bertindak balas lebih pantas kepada keperluan mereka serta melabur dalam bakat tempatan yang cakna persekitaran perniagaan di rantau ini.
“Pejabat Johor ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam membina perkongsian yang dipercayai serta menyampaikan penyelesaian teknologi yang selamat dan boleh dipercayai bagi membantu perniagaan berkembang dengan yakin,” katanya dalam kenyataan.
Pengembangan itu turut memperkukuh keupayaan Bridgenet dalam menyokong organisasi dari segi perkhidmatan IT terurus, penyelesaian awan dan keselamatan siber khususnya ketika perusahaan berdepan dengan kerumitan operasi serta keperluan keselamatan yang semakin meningkat.
Sementara itu, Pemangku Ketua TechCo, Perniagaan Enterprise, CelcomDigi Berhad, Alex Foo berkata, jarak yang lebih dekat membolehkan kerjasama yang lebih kukuh merentasi ekosistem.
“Dengan pasukan yang beroperasi secara langsung di lapangan, pelanggan bakal menikmati sokongan yang lebih responsif manakala rakan kongsi dapat bekerjasama dengan lebih rapat untuk membangunkan penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan pasaran Wilayah Selatan,” katanya.
Bagi para pekerja, pejabat Johor membuka peluang baharu untuk pembangunan profesional dan kerjasama rentas wilayah sekali gus menegaskan kepercayaan Bridgenet bahawa modal insan kekal sebagai teras dalam menyampaikan hasil yang konsisten dan berkualiti tinggi kepada pelanggan.
Pengembangan di Johor merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan menyeluruh Bridgenet Solutions susulan integrasinya ke dalam CelcomDigi pada 2021.
Dengan menggabungkan kehadiran tempatan dengan skala serta keupayaan ekosistem CelcomDigi, Bridgenet bersedia membantu perusahaan di seluruh negara memenuhi keperluan infrastruktur IT dan keselamatan siber yang sentiasa berkembang. – UTUSAN









