PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menerima pengiktirafan di peringkat global apabila dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Bank Islam Dunia 2026 di London, United Kingdom.
Anugerah berprestij itu mencerminkan perkembangan positif kedudukan Bank Muamalat di peringkat antarabangsa, seiring dengan amalan tadbir urus yang mantap serta peranan berterusannya dalam menyokong pembangunan kewangan Islam yang mampan dan inklusif.
Anugerah tersebut telah disampaikan sempena Persidangan mengenai ASEAN di Persimpangan Geopolitik 2026, sebuah forum tertutup yang dianjurkan bersama oleh LSE, KSI Institut Strategik untuk Asia Pasifik (KSI) dan Kelab Ekonomi ASEAN (AEC).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, usaha kolektif warga kerja Bank Muamalat yang disokong oleh pelaksanaan pengurusan yang berdisiplin serta pengawasan kukuh oleh Lembaga Pengarah memacu kejayaan tersebut.
“Pengiktirafan global berprestij ini mengukuhkan komitmen berterusan Bank Muamalat terhadap kecemerlangan, kepercayaan dan inovasi.
“Lebih penting, anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian Bank Muamalat sebagai sebuah institusi, tetapi turut memperkukuh kedudukan serta kredibiliti Malaysia dalam landskap kewangan Islam global.
“Ia merupakan hasil dedikasi warga kerja kami yang disokong oleh tadbir urus strategik Lembaga Pengarah, dalam usaha untuk terus memperkasa penyediaan penyelesaian kewangan yang bertanggungjawab, inklusif dan mampan, seiring dengan aspirasi kami untuk menjadi ‘Bank Islam Paling Kukuh di Malaysia’,” katanya.
Pengiktirafan tersebut telah diterima oleh Pengerusi, Tan Sri Tajuddin Atan, FCB, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairul Kamarudin, bagi pihak Bank Muamalat.
Persidangan itu menghimpunkan pemimpin dunia, pembuat dasar kanan serta tokoh industri global bagi membincangkan pengaruh strategik ASEAN dalam landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.
Pemilihan Bank Muamalat bagi anugerah global ini mencerminkan prestasi kewangan yang konsisten, tadbir urus syariah yang kukuh serta pendekatan inovatif dalam penyediaan penyelesaian kewangan Islam, khususnya dalam memperkukuh amalan kemampanan dan memperkasa komuniti yang kurang mendapat akses kewangan.
Panel penilai turut mengiktiraf kepimpinan Bank dalam penerapan prinsip Alam sekitar sosial dan tadbir urus (ESG), kemajuan agenda pendigitalan serta sumbangan bermakna terhadap pembangunan sosioekonomi Malaysia.
Anugerah itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam trajektori pertumbuhan Bank Muamalat sebagai sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya.
Ia mengukuhkan lagi profil antarabangsa bank serta kepimpinannya dalam mempromosikan kewangan Islam yang berteraskan integriti, daya tahan dan penciptaan nilai jangka panjang. – UTUSAN










