PETALING JAYA: Ambest Group Berhad, penyedia sokongan kejuruteraan bagi industri semikonduktor, menyasarkan untuk mengumpul hasil kasar sebanyak RM27.50 juta menerusi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 6 Februari ini.
Permohonan bagi terbitan awam tersebut dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang 27 Januari 2026.
Tawaran awam permulaan (IPO) itu melibatkan terbitan 110 juta saham baharu pada harga 25 sen sesaham, yang akan menyumbang kepada permodalan pasaran syarikat berjumlah RM127.5 juta selepas penyenaraian.
Daripada jumlah hasil IPO tersebut, sebanyak RM12 juta atau 43.6 peratus akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank bagi membiayai pengambilalihan Fasiliti 42A di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Selain itu, sebanyak RM3.9 juta atau 14.2 peratus diperuntukkan bagi pembelian jentera canggih baharu termasuk mesin CNC 5-paksi, RM6.8 juta atau 24.7 peratus sebagai modal kerja am, manakala baki RM4.8 juta atau 17.5 peratus untuk menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Pengarah Urusannya, Tan Beng Beng berkata, pelancaran prospektus itu merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang dipercayai dalam rantaian bekalan semikonduktor.
“Hasil daripada IPO ini akan membolehkan kami mengurangkan beban hutang sekali gus melabur secara langsung dalam keupayaan operasi.
“Penambahan mesin baharu di Fasiliti 42A dijangka meningkatkan kapasiti operasi tahunan kami sebanyak empat peratus, sekali gus memperkukuh ketepatan dan keupayaan pengeluaran kumpulan,” katanya semasa Majlis Pelancaran Prospektus Ambest Group Berhad, di sini, hari ini.
Menurutnya, syarikat juga merancang untuk mengembangkan Fasiliti 42A dengan menambah satu tingkat lagi bagi meningkatkan keluasan binaan serta membina bilik bersih baharu bagi menyokong pelan pertumbuhan masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn. Bhd., Lim Chia Wei berkata, segmen perkhidmatan sokongan kejuruteraan terus menerima permintaan stabil didorong oleh keperluan terhadap kejuruteraan ketepatan dan standard kualiti yang tinggi.
“Dengan pengalaman kolektif pasukan pengurusan kanan yang melebihi 50 tahun serta disiplin operasi yang mantap, Ambest mempunyai asas yang kukuh untuk beralih ke fasa seterusnya sebagai syarikat senaraian awam,” katanya.
Saham Ambest telah diklasifikasikan sebagai patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Malacca Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin Emisi dan Ejen Penempatan, manakala WYNCORP Advisory Sdn. Bhd. merupakan Penasihat Kewangan Korporat bagi pelaksanaan IPO tersebut. – UTUSAN









