PETALING JAYA: Adnex Group Berhad (Adnex) menandatangani perjanjian taja jamin dengan Public Investment Bank Berhad (PIVB) berkenaan tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
IPO Adnex terdiri daripada terbitan awam sebanyak 90.50 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan sebanyak 39.50 juta saham sedia ada.
Pengarah Urusan Adnex, Kan Wai Chun berkata, perjanjian taja jamin itu merupakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan kumpulan ke arah menjadi sebuah syarikat tersenarai.
“Sepanjang dua dekad yang lalu, Adnex telah berkembang menjadi nama yang dipercayai dalam industri pemasangan dalaman dengan sentiasa memberikan mutu kerja berkualiti tinggi.
“Ia semestinya dengan keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan pemasangan dalaman yang mampan, penyiapan tepat pada masa dan penyelesaian yang berfokuskan pelanggan.
“Penyenaraian kami akan menyediakan asas kewangan untuk meningkatkan kapasiti operasi kami, berkembang ke peringkat serantau ke Malaysia Timur dan pasaran luar negara terpilih, dan melabur dalam peningkatan teknologi dan peralatan untuk mengukuhkan kelebihan daya saing kami,” katanya dalam kenyataan.
Dengan lebih daripada 20 tahun sejarah operasi melalui anak syarikat utamanya Adnex Interior Solution Sdn. Bhd., Adnex telah membina reputasi yang kukuh dalam menyediakan perkhidmatan pengubahsuaian dalaman yang berkualiti untuk pejabat korporat, kedai makanan dan minuman (F&B) dan galeri jualan.
Perkhidmatan pengubahsuaian dalaman yang disediakan oleh kumpulan biasanya melibatkan proses aktualisasi reka bentuk ruang dalaman yang melayani pelbagai pelanggan daripada syarikat tempatan hingga syarikat multinasional (MNC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIVB, Lee Yo-Hunn berkata, Adnex telah menunjukkan asas yang kukuh dan kepakaran operasi dalam sektor pemasangan dalaman Malaysia, melayani asas pelanggan korporat dan institusi yang pelbagai.
“Dengan pasukan pengurusan yang berpengalaman dan portfolio projek yang terbukti, kumpulan bersedia untuk merebut peluang pertumbuhan baharu dalam landskap pembangunan komersial dan perindustrian Malaysia.
“Public Investment Bank berbangga memainkan peranan penting dalam menyokong IPO Adnex dan penampilan sulungnya di Pasaran ACE,” ujarnya.
Adnex telah memperoleh kelulusan Bursa Securities untuk penyenaraian mereka di Pasaran ACE Bursa Securities pada 25 September 2025.
Penyenaraian yang akan datang dijangka akan mengukuhkan struktur modal Adnex, meningkatkan kapasiti operasinya dan menyokong penyampaian nilai jangka panjang yang mampan kepada para pemegang saham. – UTUSAN










