51% rakyat Malaysia yakin ekonomi peribadi bertambah baik

51% rakyat Malaysia yakin ekonomi peribadi bertambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 51 peratus rakyat Malaysia menjangkakan kesejahteraan ekonomi mereka akan bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut dapatan Tinjauan Pemerkasaan Kesihatan dan Ekonomi Asia Pasifik (APAC) 2025 oleh Herbalife.

Tinjauan yang membabitkan 1,000 responden di Malaysia mendapati 61 peratus menilai tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka berada pada paras “amat baik” meskipun wujud jurang ketara antara persepsi tahap kesihatan dan kedudukan kewangan semasa. 

Namun hanya 28 peratus menganggap kesejahteraan ekonomi semasa sebagai “sangat baik” atau ke atas. 

Pengarah Kanan dan Pengurus Herbalife Malaysia dan Singapura, Steven Chin berkata, dalam keadaan ekonomi semasa, semakin ramai rakyat Malaysia mencari sumber pendapatan tambahan bagi memperkukuh kedudukan kewangan masing-masing.

“Herbalife terus memperkasakan individu daripada pelbagai latar belakang untuk menjadikan minat terhadap kesejahteraan sebagai usaha niaga yang bermakna, disokong oleh peralatan, teknologi serta model jualan langsung yang fleksibel dan terbukti.

“Herbalife turut komited menyokong usaha ini dengan membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan, di samping menyediakan peluang kepada individu yang ingin membina perniagaan sendiri sebagai pengedar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut tinjauan itu, golongan usahawan di Malaysia didapati lebih optimistik berbanding bukan usahawan. 

“Sebanyak 61 peratus usahawan meramalkan kesejahteraan ekonomi mereka akan bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang, berbanding 47 peratus dalam kalangan bukan usahawan.

“Usahawan juga lebih cenderung merasakan mereka berupaya membuat keputusan yang mengukuhkan kestabilan kewangan, dengan 54 peratus menyatakan keyakinan tersebut, berbanding hanya 32 peratus dalam kalangan bukan usahawan,” katanya. 

Dari sudut kesihatan, Tinjauan itu berkata, rakyat Malaysia kekal positif apabila 57 peratus menjangkakan tahap kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan mereka akan bertambah baik dalam tempoh setahun akan datang. 

“Keluarga dikenal pasti sebagai pengaruh terbesar terhadap kesihatan (58 peratus), diikuti kerjaya (46 peratus) dan keadaan ekonomi (35 peratus).

“Sepanjang 12 bulan lalu, lebih separuh responden meningkatkan usaha menjaga kesejahteraan dengan 54 peratus meluangkan lebih banyak masa bersenam, 45 peratus menghentikan tabiat kurang sihat dan 41 peratus melibatkan diri dalam aktiviti kesejahteraan. 

“Momentum ini dijangka berterusan dengan 55 peratus merancang untuk menambah masa bersenam pada tahun hadapan,” katanya. 

Namun begitu, pemerkasaan kewangan masih menjadi cabaran apabila hanya 38 peratus responden berasa berupaya membuat keputusan yang dapat meningkatkan kestabilan kewangan dan kesejahteraan ekonomi mereka. 

Faktor ekonomi dikenal pasti sebagai pengaruh utama kesejahteraan kewangan (45 peratus), diikuti rakan dan keluarga (43 peratus) serta kerjaya (35 peratus).

Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, 60 peratus responden mengurangkan perbelanjaan barangan bukan keperluan dalam tempoh setahun lalu, manakala 29 peratus meluangkan masa mengkaji atau melabur secara aktif. 

Trend ini dijangka berterusan dengan 55 peratus merancang mengurangkan perbelanjaan dan 31 peratus memberi tumpuan kepada peluang pelaburan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Tinjauan itu turut menunjukkan keperluan sokongan yang jelas, apabila 57 peratus responden mahukan maklumat mengenai cara menambah pendapatan, 42 peratus memerlukan nasihat pakar berkaitan pelaburan dan simpanan, manakala 36 peratus ingin panduan memulakan perniagaan atau kerja sampingan baharu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN