PETALING JAYA: UMPSA Holdings Sdn. Bhd. (UMPSAH), anak syarikat komersial Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneroka pasaran antarabangsa melalui dua kerjasama strategik utama.
UMPSAH berkata, kerjasama pertama telah dimeterai dengan Chulia Middle East Technical Services LLC, sebuah syarikat pengurusan fasiliti (FM) antarabangsa berpangkalan di Malaysia, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 18 November 2025 di Dubai.
Ujarnya, kerjasama ini merangkumi pengurusan fasiliti pintar, Building Information Modelling (BIM), penyelesaian bangunan berasaskan internet kebendaan (IoT), pengurusan projek, perkhidmatan pembersihan serta penyelesaian teknikal khusus seperti kawalan kakisan paip air sejuk untuk sistem HVAC berskala besar.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSAH, Ts. Mohd Fadzil Mohd Idris berkata, melalui kerjasama ini, ekosistem penyelidikan dan inovasi UMPSA kini bersambung dengan industri antarabangsa.
“Bersama Chulia, kami berhasrat mengkomersialkan teknologi tempatan dan menjadikan inovasi akademik sebagai penyelesaian nyata di dunia sebenar,” katanya dalam kenyataan.
Dalam inisiatif berasingan, UMPSAH juga menandatangani MoU dengan Albatross Tech Pvt. Co. Ltd. dari China, bagi menubuhkan Pusat Inkubator Teknologi Ruang Udara Rendah dan
Pusat Dron pertama di Pahang.
Mohd Fadzil berkata, pusat ini akan memacu penyelidikan, ujian, pemindahan teknologi dan inovasi bersama dalam sistem dron, kenderaan autonomi, robotik dan teknologi pertanian di Agriculture Twin Park seluas 72.84 hektar di Luit, Maran.
“Satu daripada objektif utama kerjasama ini ialah membangunkan dron buatan Malaysia, mengukuhkan pembuatan berteknologi tinggi tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import dan meletakkan Malaysia sebagai pemain baharu di arena industri dron global.
“Inisiatif ini adalah pelaburan dalam bakat tempatan dan penyelesaian dron buatan Malaysia yang bersedia untuk masa depan. Ia mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem
dron global sambil mempercepatkan inovasi dalam pelbagai industri,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua kerjasama antarabangsa ini menunjukkan kemampuan UMPSAH menterjemah penyelidikan dan inovasi universiti ke dalam penyelesaian komersial, meluaskan jejak Malaysia dalam bidang fasiliti pintar, IoT, aeroangkasa dan sistem autonomi. – UTUSAN










