U Mobile sekat lebih 265 juta panggilan dan SMS penipuan sejak Februari - Utusan Malaysia

U Mobile sekat lebih 265 juta panggilan dan SMS penipuan sejak Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: U Mobile menyekat lebih 265 juta cubaan panggilan dan mesej penipuan di seluruh negara sejak pelaksanaan perlindungan penipuan peringkat rangkaian secara penuh pada Februari.

Melalui penggunaan teknologi Unified Signalling, SMS dan Voice Firewall oleh Cellusys, semua panggilan masuk dan mesej pesanan ringkas (SMS) ditapis di peringkat rangkaian sebelum dihantar ke peranti pelanggan.

Sebarang komunikasi yang dikenal pasti mencurigakan akan disekat lebih awal, sekali gus menghalang cubaan penipuan daripada sampai kepada pengguna.

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, langkah proaktif tersebut diambil bagi memastikan keselamatan pelanggan terus terpelihara dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.

“U Mobile komited melindungi pelanggan daripada aktiviti penipuan, justeru kami menumpukan penyelesaian perlindungan penipuan canggih daripada Cellusys terus ke dalam rangkaian sebagai keupayaan keselamatan teras untuk semua pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pelaksanaan itu menunjukkan impak yang ketara apabila lebih 265 juta panggilan dan SMS penipuan berjaya disekat setakat ini.

“Kami akan terus menambah baik rangkaian melalui penggunaan teknologi bagi melindungi pelanggan merangkumi perkhidmatan suara, pemesejan dan data.

“Ketika kami mengembangkan rangkaian 5G generasi baharu ke seluruh negara, aspek keselamatan kekal sebagai keutamaan kerana kesalinghubungan yang dipercayai penting untuk ekonomi digital Malaysia yang berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.

Perlindungan itu merangkumi panggilan penipuan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi, serangan pancingan data melalui SMS, penyamaran identiti pemanggil serta kempen jenayah berskala besar yang menyasarkan pengguna di Malaysia.

Syarikat telekomunikasi itu menjadi yang pertama di Malaysia melaksanakan perlindungan penipuan pada peringkat rangkaian, melibatkan kerjasama dengan Cellusys, penyedia penyelesaian keselamatan isyarat, perayauan dan analitik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cellusys, Brendan Cleary berkata, kepimpinan U Mobile dalam melindungi pelanggan menetapkan penanda aras baharu dalam industri telekomunikasi di Malaysia dan rantau ini.

“Teknologi Cellusys menjadi teras kepada perlindungan peringkat nasional ini, beroperasi dengan ketepatan dan kebolehskalaan tinggi untuk menghentikan penipuan sebelum ia sampai kepada pengguna,” katanya.

Menurut Perikatan Global Anti-Penipuan, sebanyak 73 peratus rakyat Malaysia melaporkan pernah menerima panggilan atau mesej penipuan, antara kadar tertinggi di Asia Tenggara, dengan kumpulan jenayah semakin menyasarkan isi rumah, warga emas dan golongan rentan.

Sejajar usaha nasional memerangi penipuan digital, inisiatif U Mobile itu turut menyokong pengukuhan daya tahan digital negara dalam melindungi pengguna daripada ancaman penipuan yang semakin kompleks. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN