Transformasi digital dorong pemulihan, pertumbuhan industri pelancongan - Utusan Malaysia

Transformasi digital dorong pemulihan, pertumbuhan industri pelancongan

PENGARAH Bersama, Frost & Sullivan (GIC) Sdn. Bhd., Chia Yi Han ketika bercakap pada forum Bursa Malaysia & Hong Leong Bank Stratum Focus Series di Bursa Malaysia di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Transformasi digital kini memainkan peranan semakin penting dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negara sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi pascapandemik. 

Pengarah Bersama, Frost & Sullivan (GIC) Sdn. Bhd., Chia Yi Han berkata, industri pelancongan sedang memasuki fasa baharu yang menuntut penggunaan data masa nyata, inovasi teknologi dan integrasi sistem untuk memenuhi perubahan tingkah laku pelancong global.

Katanya, peralihan daripada tiket fizikal kepada QR, identiti digital dan sistem tanpa sentuhan membuka laluan kepada pengurusan pelancong yang lebih cekap. 

“Data masa nyata membolehkan penyedia perkhidmatan membuat keputusan pantas daripada menyesuaikan harga, kapasiti hingga merancang promosi ketika permintaan rendah. 

“Ini meningkatkan kecekapan operasi dan pulangan ekonomi,” katanya dalam pembentangan Persidangan Bursa Malaysia-Hong Leong Investment Bank Stratum Focus XX di Bursa Malaysia hari ini. 

Yi Han berkata, kemajuan teknologi juga mengubah keseluruhan perjalanan pelancong bermula daripada fasa inspirasi, perancangan, tempahan hingga pengalaman di destinasi. 

“Algoritma dan Kecerdasan Buatan (AI) kini mampu memahami psikografi pengguna, termasuk minat terhadap pengalaman santai, pengembaraan atau lokasi yang tular di media sosial. 

“AI bukan sekadar mencadangkan destinasi, tetapi memetakan pengalaman yang benar-benar disesuaikan dengan keperluan individu,” katanya.

Di samping itu, jelasnya, integrasi sistem antara agensi pelancongan dalam talian (OTA), aplikasi perjalanan, peta digital dan platform kerajaan dijangka menjadi faktor utama yang meningkatkan daya saing destinasi. 

“Teknologi juga membantu pelancong merancang laluan lebih efisien berdasarkan kesesakan, masa sesuai untuk melawat dan jarak antara lokasi, mengurangkan pembaziran masa serta meningkatkan perbelanjaan pelancong di lokasi bernilai tinggi,” katanya. 

Beliau berkata, teknologi AR dan VR berpotensi memperkaya pengalaman di tapak warisan dan lokasi budaya melalui visualisasi sejarah secara imersif. 

“Pada masa sama, penggunaan robotik di destinasi tertentu seperti di China telah membantu pelancong yang mempunyai kekangan mobiliti, sekali gus membuka peluang pasaran baharu dalam sektor teknologi pelancongan,” katanya. 

Menurutnya, destinasi seperti Hainan menunjukkan bagaimana penggunaan sensor, data QR dan pemantauan trafik pelancong boleh meningkatkan daya tahan bandar terhadap lebihan pelancong. 

“Teknologi juga mampu menangani isu filter bubble dalam pemasaran destinasi dengan memberi lebih banyak ruang kepada pemain kecil untuk muncul dalam carian AI, sekali gus meratakan peluang ekonomi,” katanya. 

Beliau menegaskan, akses data yang lebih terbuka adalah keperluan mendesak bagi membolehkan perancangan kolektif antara penggiat industri. 

“Dalam jangka panjang, teknologi dijangka menjadi alat penting dalam menguruskan impak perubahan iklim serta memacu pelancongan yang lebih mampan.

“Ekosistem pelancongan masa depan bergantung kepada integrasi platform, kecerdasan buatan yang lebih peribadi dan penggunaan data sebagai asas perancangan. Ini bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk memastikan industri terus maju dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN