TNB perkenal dua jawatan kepimpinan kanan baharu

TNB perkenal dua jawatan kepimpinan kanan baharu

MAHATHIR Nor Ismail sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Kanan (SCNO) (kiri) manakala Datuk Muhammad Nazri Pazil (kanan) sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Kelestarian Kanan (SCSSO) yang baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melantik Mahathir Nor Ismail sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Kanan (SCNO) manakala Datuk Muhammad Nazri Pazil sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Kelestarian Kanan (SCSSO) berkuat kuasa 1 Januari 2026, susulan pembentukan dua jawatan itu.

Menurut TNB, dua jawatan itu diperkenalkan bagi memberikan fokus yang lebih jelas, memperkukuh akauntabiliti serta mengukuhkan pemisahan antara hala tuju strategik dan pelaksanaan operasi.

“Penambahbaikan kepimpinan ini mencerminkan pendekatan berdisiplin TNB terhadap tadbir urus dan perancangan penggantian, bagi memastikan organisasi kekal bersedia menghadapi masa hadapan, dipimpin dengan baik serta disokong oleh saluran bakat kepimpinan yang kukuh untuk melaksanakan tanggungjawab nasionalnya secara mampan.

“Struktur yang diperhalusi ini membolehkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif memberikan kepimpinan dan penyeliaan keseluruhan yang jelas, sambil memperkasa barisan kepimpinan kanan dengan tanggungjawab yang ditakrifkan dengan jelas untuk memacu prestasi, transformasi dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah struktur baharu ini, SCNO akan menyelia sebahagian besar tanggungjawab pelaksanaan dan penyampaian, sekali gus memberikan pemilikan yang jelas terhadap prestasi operasi, kebolehpercayaan rangkaian dan daya tahan sistem.

Ini memastikan tumpuan yang kukuh terhadap mandat teras untuk membekalkan bekalan elektrik yang selamat, boleh dipercayai dan berdaya tahan kepada negara.

Sementara itu, SCSSO menggabungkan fungsi strategi, kelestarian dan perancangan jangka panjang di bawah satu payung kepimpinan.

Ini mengukuhkan kesepaduan strategik, meningkatkan komunikasi dengan pihak berkepentingan serta memastikan pertimbangan kelestarian diterapkan sepenuhnya dalam pembuatan keputusan jangka panjang dan hala tuju perniagaan TNB.

TNB mengukuhkan amalan tadbir urus yang baik, meningkatkan penyelarasan di seluruh organisasi serta memperkukuh penjajaran antara perancangan jangka panjang dan operasi harian.

Struktur ini juga menyokong proses pengurusan penggantian yang lebih mantap dengan membangunkan keupayaan kepimpinan yang mendalam serta memastikan kesinambungan pada peringkat kepimpinan kritikal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN