SEREMBAN:Techpark Enstek Life Science yang dibangunkan TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop) dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM10 hingga 19 bilion dalam tempoh lima tahun.
Pengerusi TH Prop, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya sedang berunding dengan tiga syarikat tempatan dan China berasaskan pensijilan halal, khususnya dalam bidang pengeluaran vaksin halal dan farmaseutikal di kawasan Life Science Park yang sedang dibangunkan.
Katanya, ini sekali gus menjadikan Techpark Enstek sebagai Life Science Park pertama di Malaysia yang berstatus Taman Industri Halal berstatus HALMAS (Halal Malaysia).
“Fasa awal pembangunan pasaran telah bermula dan kemasukan pelabur baharu dijangka akan terus meningkat. Setiap pelabur akan membangunkan kilang mengikut keperluan serta kesesuaian operasi masing-masing.
“TH Properties kini giat menyediakan infrastruktur dan ekosistem yang lengkap bagi menyokong pembangunan Life Science Park ini. Pembangunan strategik berasaskan sektor sains hayat ini bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan berimpak tinggi, malah dijangka memperkukuh penciptaan nilai jangka panjang bagi keseluruhan bandar berkenaan.
“Kerja-kerja tanah juga telah bermula selaras dengan perancangan pembangunan kawasan seluas 492 ekar dalam tempoh lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Techpark Enstek di Bandar Enstek di sini semalam.
Pembangunan Life Science Park bakal menjadi pemangkin utama kepada transformasi ekonomi Bandar Enstek, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek dianggarkan mencecah RM2.67 bilion.
Secara keseluruhan, Bandar Enstek yang merangkumi keluasan 2,071.6 hektar merekodkan GDV kumulatif sebanyak RM14.68 bilion.
Techpark Enstek adalah berpandukan tiga aspek utama iaitu lokasi strategik yang berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), rangkaian lebuh raya utama, Pelabuhan Klang dan rel Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Selain itu, ia juga merupakan pembangunan berkluster, menghimpunkan pelbagai industri dalam satu zon merangkumi pendidikan, penyelidikan, perkilangan dan teknologi dan infrastruktur tersedia yang direka bentuk untuk memenuhi keperluan industri sains hayat seperti bioteknologi, farmaseutikal dan perubatan.
Sebagai pemaju utama, TH Properties memberi tumpuan kepada ekosistem sains hayat yang lengkap, tersusun dan mempunyai status Halal Malaysia oleh Halal Development Corporation (HDC) termasuk syarikat farmaseutikal, bioteknologi, penjagaan kesihatan dan industri-industri bersangkutan.
Kejayaan ini membuktikan kewibawaan Bandar Enstek dalam usaha memenuhi matlamat industri, khususnya bagi Techpark 1 dan Techpark 2 yang merangkumi industri konsumerisme dan pendidikan untuk pembangunan infrastruktur dan logistik yang berteraskan piawaian halal.
Selain itu, langkah untuk meliputi industri sains hayat melalui Life Science Park adalah suatu strategi sinergistik yang menggembleng kejayaan sekarang untuk masa hadapan.
Dengan pelaksanaan projek-projek baharu yang berfokuskan industri bernilai tambah tinggi, trajektori pertumbuhan bandar itu dijangka terus berkembang secara mampan dalam tempoh jangka panjang.
Jelas Husam, Life Science Park direka sebagai sebuah ekosistem bersepadu yang membolehkan sektor sains hayat berkembang pesat.
“Dengan sokongan padu daripada kerajaan, industri dan institusi akademik, kami yakin pembangunan ini akan menarik pelabur bertaraf dunia, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan memposisikan Malaysia sebagai pemain kompetitif dalam landskap sains hayat global,” katanya.-UTUSAN










