Syarikat Itali buka Pusat Siber Serantau di Malaysia - Utusan Malaysia

Syarikat Itali buka Pusat Siber Serantau di Malaysia

FAHMI Fadzil melawat Pusat Siber Serantau Leonardo Malaysia di Menara PHB Shah Alam, hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Leonardo, syarikat multinasional Itali yang pakar dalam bidang Aeroangkasa, Pertahanan, dan Keselamatan (AD&S) memilih Malaysia sebagai lokasi baharu Pusat Siber Serantaunya bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam teknologi keselamatan global.

Pemilihan lokasi di Dataran PHB, Saujana Resort, Shah Alam itu secara tidak langsung membuktikan peranan negara ini sebagai hab strategik di Asia Tenggara.

Pusat baharu itu akan memberikan sumbangan ketara kepada perlindungan terhadap ancaman hibrid baharu di peringkat global, seterusnya mengukuhkan autonomi digital dan menyokong pembangunan lestari Malaysia dan seluruh rantau.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, syarikat Itali itu bukan sekadar berminat terhadap pembangunan infrastruktur fizikal seperti helikopter, tetapi turut menumpukan aspek keselamatan siber yang dianggap kritikal bagi pertahanan moden.

Ujarnya, hasrat Leonardo ialah melihat Malaysia bukan hanya sebagai rakan dagang, tetapi sebagai hab strategik keselamatan siber serantau, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kapasiti digital negara.

“Kerjasama yang diperkasa ini membuka peluang lebih luas kepada Malaysia untuk muncul sebagai peneraju keselamatan siber di rantau Asia Tenggara.

“Pembukaan pusat ini juga memberi isyarat kukuh kepada pasaran, terutama ketika negara bersedia menamatkan tempoh pengerusi ASEAN.

“Kehadiran mereka menunjukkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia, selain mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi teknologi dan keselamatan siber paling berdaya saing di rantau ini,” katanya pada media selepas Majlis Pelancaran Pusat Siber Serantau Leonardo di sini, semalam.

Beliau berkata, Malaysia komited memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Itali, khususnya dalam bidang keselamatan siber dan teknologi pertahanan, susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu tahun lalu.

“Keupayaan Malaysia dalam ekonomi digital, yang kini merangkumi satu perempat keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjadikan keselamatan data dan perlindungan siber keutamaan utama kerajaan,” ujarnya.

Beliau turut memuji kejayaan Leonardo mewujudkan sovereign cloud atau pengkomputeran awan berdaulat di Itali, sambil memaklumkan Malaysia sedang meneliti model tersebut sebagai rujukan untuk pembangunan pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN