Sunway iLabs jalin kerjasama strategik dengan Alibaba, perkukuh ekosistem pemula AI serantau - Utusan Malaysia

Sunway iLabs jalin kerjasama strategik dengan Alibaba, perkukuh ekosistem pemula AI serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway iLabs, makmal inovasi dan cabang modal teroka korporat (CVC) Sunway Group, memeterai kerjasama strategik dengan Alibaba Entrepreneurs Fund (AEF) – NextGen Fund bagi memperkukuh pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) antara Malaysia, Hong Kong dan Greater Bay Area (GBA).

Ketua Pegawai Inovasi Sunway Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Matt van Leeuwen berkata, kerjasama itu akan menggabungkan kepakaran teknikal Alibaba dengan kekuatan ekosistem inovasi Sunway untuk mempercepatkan pembangunan penyelesaian AI serantau.

“Kerjasama dengan AEF mengukuhkan matlamat kami untuk memacu inovasi dan pertumbuhan lestari, dengan membolehkan syarikat pemula mengakses rangkaian, bakat dan infrastruktur yang diperlukan untuk membawa penyelesaian berimpak tinggi ke pasaran,” katanya.

Sebelum ini, Sunway iLabs memaklumkan kerjasama tersebut menghubungkan ekosistem makmal inovasi bersepadu Sunway dengan rangkaian AI dan teknologi mendalam Alibaba, sekali gus membuka peluang penyelidikan bersama, ujian dunia sebenar dan pembangunan inovasi merentas industri.

Mengikut laporan KPMG, ekosistem pemula Hong Kong menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan 67 tawaran awam permulaan (IPO) diselesaikan dalam sembilan bulan pertama 2025 di Bursa Hong Kong (HKEX), peningkatan 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lonjakan permohonan penyenaraian saham A+H daripada hanya lima pada 2024 kepada 83 pada 2025 turut mengukuhkan kedudukan Hong Kong sebagai hab kewangan strategik di rantau itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AEF, Cindy Chow berkata, kerjasama tersebut membantu memperluas peluang syarikat pemula AI dari Hong Kong dan Greater China ke rantau Asia Tenggara.

“AEF-NextGen Fund komited menjadi jambatan inovasi antara Hong Kong dan Malaysia. Dengan memanfaatkan ekosistem global Alibaba, kami melihat potensi besar untuk mencipta nilai bersama dalam pembangunan dan aplikasi AI merentas pelbagai industri,” katanya.

Melalui kerjasama itu, Sunway iLabs akan dapat mengakses penyelesaian AI berpotensi tinggi dari komuniti inovasi Hong Kong dan GBA untuk diterapkan bersama 13 unit perniagaan Sunway merangkumi sektor kesihatan, pendidikan, runcit dan pembinaan.

Kerjasama tersebut turut mengukuhkan hubungan Sunway dengan institusi penyelidikan terkemuka seperti Damo Academy dan universiti-universiti di Hong Kong, dengan menyokong pembangunan inovasi teknologi mendalam dan pemerkasaan bakat masa depan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN