Sunview peroleh loji solar 50MW di Pahang bernilai RM70 juta - Utusan Malaysia

Sunview peroleh loji solar 50MW di Pahang bernilai RM70 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunview Group Berhad (Sunview) menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, SAM 2 Sdn. Bhd., memeterai perjanjian bersyarat untuk memperoleh sebuah loji janakuasa solar fotovoltaik berskala besar berkapasiti 50 megawatt arus ulang alik (MWac) di Pekan, Pahang, bernilai RM70 juta.

Cadangan pengambilalihan itu dimeterai pada 29 Disember lalu melalui perjanjian jual beli bersyarat dengan PKNP Reneuco Suria Sdn. Bhd. (dalam penerimaan), anak syarikat 95 peratus milik Reneuco Berhad, bagi pengambilalihan loji solar yang terletak di atas dua bidang tanah pajakan di Pekan.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, harga pembelian akan diselesaikan sepenuhnya secara tunai melalui gabungan pinjaman bank, dana dalaman dan pengumpulan dana pada masa hadapan.

“Selepas selesai pengambilalihan, SAM 2 akan menjadi pemilik berdaftar loji solar tersebut yang merangkumi bangunan, struktur, kelengkapan dan pemasangan berkaitan bagi loji solar fotovoltaik berkapasiti 50MWac yang dibangunkan di atas tanah berkenaan.

“SAM 2 kemudiannya akan memasuki perjanjian pajakan dengan pemilik tanah, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), bagi tujuan penggunaan tanah tersebut.

“Loji solar berkenaan pada asalnya dibangunkan susulan kejayaan Reneuco, dengan kerjasama PKNP, disenarai pendek dalam bidaan Solar Berskala Besar 4 (LSS4) yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 2021 bagi pembangunan loji solar 50MWac di Pahang,” menurut makluman.

Tanah pajakan berkeluasan 93 hektar dengan tempoh pajakan selama 99 tahun sehingga 22 Disember 2113. 

PKNP Reneuco turut menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh 21 tahun bermula 30 September 2023 sebagai tarikh operasi komersial berjadual.

Bagaimanapun, pembinaan loji tersebut terhenti selepas Reneuco diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah Nota Amalan 17 (PN17) Bursa Malaysia pada Februari 2024 susulan kekangan kewangan, sebelum KPMG Corporate Restructuring PLT dilantik sebagai penerima dan pengurus pada Jun 2025.

Sunview berjaya memenangi bidaan bagi pengambilalihan loji solar itu melalui proses tender pada 28 November 2025. 

Berdasarkan dokumen tender bertarikh 22 September 2025, tahap pembinaan loji solar tersebut dianggarkan telah mencapai 79 peratus.

Syarikat itu memaklumkan, penilaian lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti skop kerja dan kos tambahan yang diperlukan untuk menyiapkan sepenuhnya pembinaan loji solar berkenaan sebelum ia dapat beroperasi secara komersial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN