PETALING JAYA: Seramai 39 usahawan mikro menamatkan Fasa Dua Program Pemerkasaan Ekonomi (EEP) Sime Darby Property Berhad sepanjang tahun 2025, dengan purata peningkatan pendapatan sebanyak 242 peratus, manakala 79 peratus peserta mencatat pendapatan bulanan lebih tinggi dengan purata RM7,643.
Menurut syarikat berkenaan, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan bersasar yang dilaksanakan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan bagi memperkasa ekonomi komuniti di kawasan operasinya.
“Program EEP dirangka untuk membina keupayaan usahawan mikro agar lebih berdaya tahan, berdikari dan mampu berkembang secara mampan dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat berkata, selain peningkatan pendapatan, peserta EEP turut merekodkan peningkatan purata sebanyak 110 peratus dari segi pengetahuan perniagaan, manakala 87 peratus berjaya memperluaskan kehadiran digital melalui platform seperti TikTok dan WhatsApp Business.
“Pendekatan yang diambil memberi penekanan kepada keperluan sebenar peserta, termasuk aspek pengurusan kewangan, pemasaran dan penyesuaian kepada landskap digital,” katanya.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama People Systems Consultancy, sejajar dengan usaha Sime Darby Property membangunkan perniagaan tempatan yang berdaya tahan serta mampu berdikari.
Sementara itu, seorang peserta, Noradini Haji Abdul Razak berkata, penyertaan dalam program itu membolehkannya mengembangkan perniagaan makanan dari rumah kepada operasi berskala lebih besar.
“Sebelum menyertai program ini, saya tidak pernah berani menerima tempahan katering berskala besar. Bimbingan yang diterima memberi keyakinan untuk mempelbagaikan produk, mengambil kakitangan dan menembusi pasaran baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Sime Darby Property memaklumkan pelaksanaan EEP merupakan sebahagian daripada agenda CSR Kumpulan yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi, pembangunan belia serta kelestarian alam sekitar.
Menurut syarikat itu, seramai 733 sukarelawan telah menyumbangkan hampir 3,000 jam perkhidmatan menerusi Program Sukarelawan Sime Darby Property pada 2025.
“Kami percaya pembangunan modal insan dan belia merupakan elemen penting dalam memastikan kesejahteraan komuniti dapat dikekalkan secara berterusan,” katanya.
Selain itu, Kempen Fabric Recycling Movement berjaya mengumpul 81,640 kilogram fabrik terpakai bagi menyokong amalan ekonomi kitaran dan mengurangkan sisa tekstil ke tapak pelupusan.
Dalam aspek kelestarian alam sekitar, syarikat itu turut melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan biodiversiti bandar dan kempen kitar semula di beberapa lokasi termasuk KL East Mall dan Ara Damansara.
“Usaha kelestarian alam sekitar dilaksanakan secara konsisten bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap pengurusan sisa yang bertanggungjawab serta menyokong keseimbangan ekologi bandar,” katanya. – UTUSAN










