KUALA LUMPUR: Sime Darby Property akan membangunkan pusat pengedaran automasi bernilai RM450 juta untuk pasar raya Mydin di Elmina, Selangor yang dijangka siap pada suku ketiga 2027.
Pusat Agihan Mydin (MDC) Elmina bakal berfungsi sebagai pusat agihan nasional menggantikan pusat agihan sedia ada di Shah Alam, sekali gus menyokong perancangan peluasan perniagaan Mydin yang agresif iaitu membuka 20 cawangan baharu setiap tahun.
Dengan pembinaan MDC baharu itu, rangkaian pasar raya keluarga tersebut menjangka akan mempunyai lebih 110 cawangan di seluruh negara menjelang 2027 berbanding 71 cawangan ketika ini.
Pengarah Urusan Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, ketika ini, pusat agihan Mydin di Shah Alam menguruskan kapasiti 1,800 palet sehari di bawah kendalian hampir 350 pekerja yang majoritinya pekerja asing.
“MDC Elmina akan menampilkan teknologi automasi tinggi menerusi penggunaan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS), membolehkan pusat itu mengendalikan sehingga 10,200 palet sehari, 510 palet sejam dengan 70 peratus operasi automasi dan 30 peratus secara manual.
“Walaupun kapasiti meningkat lebih lima kali ganda, pusat baharu itu akan beroperasi dengan hanya 132 pekerja, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pusat Pengedaran Baharu Mydin Elmina, di sini, semalam.
Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Ameer Ali berkata, ASRS dijangka meningkatkan kecekapan operasional dan ketepatan inventori, di samping membolehkan pekerja tempatan memberi tumpuan kepada tugasan bernilai tinggi seperti kawal selia sistem dan pemantauan kualiti.
“Pekerjaan yang sebelum ini memerlukan jumlah pekerja asing yang ramai kini mampu dikendalikan melalui automasi. Pekerja tempatan terlatih akan ditempatkan di pusat ini bagi memastikan operasi berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, projek ini menjangkakan peningkatan sebanyak 240 peratus dalam keupayaan pengendalian barangan, sekali gus membolehkan pergerakan keluar masuk barangan di pusat agihan itu berlaku lebih daripada dua kali ganda lebih pantas berbanding kadar semasa.
Beliau berkata, kecekapan storan turut meningkat apabila penggunaan ruang menegak dan sistem automasi dijangka menambah kapasiti penyimpanan palet sebanyak 36 peratus.
“Teknologi ini juga membolehkan pengurangan lebih 50 peratus kebergantungan kepada tenaga kerja manual, sekali gus memberi penjimatan kos dan tenaga yang ketara,” katanya. – UTUSAN










