Scientex catat untung bersih RM142.9 juta - Utusan Malaysia

Scientex catat untung bersih RM142.9 juta

BANGUNAN SCIENTEX
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Scientex Berhad mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 11.1 peratus kepada RM142.9 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2025 berbanding RM128.6 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Pertumbuhan positif itu disokong prestasi kukuh merangkumi bahagian pembungkusan dan peningkatan berterusan bahagian hartanah.

Pengeluar pembungkusan plastik fleksibel yang juga pemaju utama perumahan berkualiti itu mencerminkan ketahanan model perniagaan dua teras dengan peningkatan pendapatan sebanyak 4.1 peratus kepada RM1.16 bilion daripada RM1.11 bilion sebelumnya.

Bahagian pembungkusan merekodkan pendapatan stabil sebanyak RM628.5 juta dengan keuntungan operasi melonjak sebanyak 49.6 peratus kepada RM46.3 juta berbanding RM31 juta sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Peng Jin berkata, campuran jualan yang menguntungkan dan kecekapan operasi berterusan dalam bahagian pembungkusan menyokong peningkatan tersebut merupakan permulaan suku pertama 2026 yang baik.

“Walaupun landskap operasi kekal kompetitif, usaha berterusan kami dalam pengoptimuman kos, penambahbaikan proses dan inovasi produk membolehkan kami bersedia untuk menghadapi dinamika pasaran serta menyokong daya saing jangka panjang.

“Dari segi hartanah, sambutan awal yang baik terhadap pelancaran terkini mengesahkan permintaan berterusan terhadap rumah mampu milik dan perancangan yang baik,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, bahagian hartanah kekal berdaya tahan dengan pendapatan meningkat 8.9 peratus kepada RM526.6 juta, disokong jualan yang kukuh dan kemajuan pembinaan yang stabil bagi projek sedia ada.

Sepanjang suku tersebut, kumpulan turut menerima sambutan awal yang memberangsangkan menerusi pelancaran bandar Scientex Jawi seluas 708 ekar di Pulau Pinang, bandar Scientex Muar seluas 1,094 ekar di Johor serta projek bertingkat tinggi pertama di Scientex Seremban, Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Peng Jin turut menggalakkan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan akses pembiayaan, khususnya bagi kumpulan B40 yang akan menyokong pemilikan rumah dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

“Pengenalan bandar Scientex Jawi dan Scientex Muar menandakan perkembangan kami ke koridor pertumbuhan baharu, selain mengukuhkan aliran projek pembangunan.

“Berasaskan 7,200 unit yang dilancarkan pada awal tahun ini, kami menyasarkan untuk meningkatkan secara progresif kepada 10,000 unit setahun dalam dua tahun akan datang, selaras dengan Visi 2028 untuk menyediakan 50,000 rumah mampu milik menjelang tahun itu,” katanya.

Mengulas prospek, beliau berkata, bahagian pembungkusan akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan kos, automasi dan pendigitalan, manakala bahagian hartanah dijangka terus memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam segmen perumahan mampu milik menerusi pelancaran bandar baharu.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-57 hari ini, pemegang saham meluluskan dividen akhir sebanyak enam sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025, menjadikan jumlah dividen tahunan 12 sen sesaham atau RM186.8 juta, bersamaan 35.2 peratus daripada keuntungan bersih bagi tempoh berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN